Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 22 JULAI – Bagi memastikan kelancaran upacara menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong yang akan diadakan pada hujung minggu ini, latihan penuh telah diadakan hari ini.
Hadir menyaksikan latihan yang diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75.
Hadir sama ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEDN dan pemangku pegawai Daerah Tutong, pegawai-pegawai dari KHEDN dan Jabatan Daerah Tutong serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75 bagi Daerah Tutong.
Daerah Tutong akan menjadi daerah pertama bagi majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat dan penduduk sempena ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-45 tahun, diikuti dengan Daerah Temburong pada 27 Julai dan Daerah Daerah Brunei dan Muara pada 1 Ogos seterusnya Daerah Kuala Belait pada 3 Ogos.
Persembahan khas bagi Daerah Tutong pada tahun ini bertemakan ‘Raja Terbilang Negara Cemerlang’ yang melibatkan seramai 275 orang peserta secara keseluruhannya.

