Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 15 JULAI – Seramai 88 orang penuntut Tahun 7, Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS), Tutong, kelmarin, mendengarkan taklimat Program Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan.
Program anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik itu merupakan salah satu usaha berterusan jabatan dalam menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Selain itu, ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Pengetua SM RIPAS, Hajah Amal Nuriyah binti Haji Ahmad Kumpoh dan para tenaga pengajar.
Taklimat Kenegaraan telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris selaku ketua Unit Kenegeraan, yang antara lain menyentuh mengenai raja kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Dalam program tersebut, para penuntut juga berpeluang menyaksikan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada penuntut yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan yang turut dikendalikan.
