Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat patriotik berkobar sambut Hari Kebangsaan

    Oleh Yusrin Junaidi dan Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Semangat patriotik yang tinggi mendorong Haji Sohaili dari Kampung Rancangan Perumahan Negara Meragang untuk membawa ahli keluarganya ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara bagi menyaksikan Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 yang berlangsung penuh meriah dan berwarna-warni.

    Menurut beliau, semangat tersebut menjadi lebih berkobar-kobar apabila mendengar titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang disiarkan menerusi RTB malam tadi yang antara lain mengingatkan rakyat agar menghargai kemerdekaan negara yang menurut Baginda adalah sebagai ‘mahkota bangsa.’

    Haji Sohaili berkata, mendengarkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semalam, beliau merasa terpanggil dan bersemangat untuk sama-sama berusaha menjana kemajuan dan pembangunan negara walaupun beliau hanya seorang warga yang bekerja sendiri.

    “Dengan menghadirkan diri ke Bandar Seri Begawan bersama seluruh ahli keluarga adalah sebagai salah satu tanda komitmen kami pada penghayatan dan penghargaan kepada erti kemerdekaan sebagaimana yang dititahkan oleh Baginda Sultan,” ujarnya.

    Formula pertama dan penting adalah dengan mendahulukan dan mengutamakan perpaduan, setia kawan dan menjauhi perpecahan, budaya berpuak-puak bagi mencapai kemakmuran dan kemajuan negara.

    Haji Sohaili bersama ahli keluarga menyaksikan Upacara Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan di ibu negara kelmarin.
    Haji Sohaili bersama ahli keluarga menyaksikan Upacara Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan di ibu negara kelmarin.
    Pengiran Dato Paduka Haji Salim.
    Pengiran Dato Paduka Haji Salim.
    Awang Azim ketika ditemu bual merasa amat teruja walaupun hujan lebat semasa membuat persembahan berkenaan.
    Awang Azim ketika ditemu bual merasa amat teruja walaupun hujan lebat semasa membuat persembahan berkenaan.

    Kita juga perlu menjauhi budaya rasuah, pecah amanah, ketidakjujuran dan yang menyalahi undang-undang serta peraturan, katanya lagi.

    Sementara itu mantan Yang Di-Pertua Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Pengiran Dato Paduka Haji Salim bin Pengiran Wahid ketika ditemui berpendapat, Upacara Perbarisan Agung sempena Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertambah meriah dibandingkan tahun sebelumnya.

    Menurutnya, upacara berkenaan berlangsung penuh meriah, walaupun hujan tetapi semangat peserta-peserta begitu terserlah. Ini menunjukkan adanya kesedaran daripada para peserta akan pentingnya memperingati sejarah dan juga mengingati kembali akan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    “Bagi ahli-ahli POLSARA, kami menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam walaupun dalam keadaan hujan lebat, Baginda turun untuk bersama-sama rakyat sekalian. Ini membuktikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat menyayangi rakyat sekalian dan kita patut bersyukur kepada Allah SWT kerana mempunyai seorang raja yang begitu pengasih dan penyayang kepada rakyatnya,” ujar beliau.

    Bagi kakitangan Kementerian Kesihatan, Awang Abdul Azim bin Haji Bayong, beliau sangat berbangga kerana menyertai persembahan sempena Hari Kebangsaan tahun ini, walaupun cuaca dalam keadaan hujan namun semangat masih sama bahkan lebih teruja bersama-sama rakan untuk menjayakan persembahan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda