WASHINGTON, 11 APRIL – Senat mengesahkan Lt Jeneral Tentera Udara (bersara) Dan ‘Razin’ Caine sebagai Ketua-ketua Turus Bersama yang baharu hari ini, mengisi jawatan itu hampir dua bulan selepas Presiden Donald Trump memecat pegawai terdahulu.
Trump mencalonkan Caine untuk menjadi pegawai tentera tertinggi AS pada Februari selepas memecat Jeneral CQ Brown Jr, jeneral kulit hitam kedua yang berkhidmat sebagai pengerusi, sebagai sebahagian daripada kempen pentadbirannya untuk membersihkan tentera daripada pemimpin yang menyokong kepelbagaian dan kesaksamaan dalam barisan. Senat mengesahkan Caine dengan undian 60-25 dalam undian semalaman sebelum mereka pulang untuk cuti selama dua minggu.
Pengesahan Caine di tengah malam, sejurus sebelum Senat meninggalkan bandar, dibuat ketika Republikan dengan segara mempercepatkan pencalonan Trump dan Demokrat berusaha untuk melambatkan proses tersebut serta menunjukkan bahawa mereka menentang dasar-dasar Trump. Pemimpin Majoriti Senat John Thune, R-S.D., mengatur undian awal pagi selepas Demokrat membantah untuk mempercepatkan undian prosedur pencalonan.
Namun, Caine disahkan dengan sokongan dwipartisan. Semasa sesi pengesahannya awal bulan ini, Caine berkata dia akan memberi nasihat secara jujur kepada Trump dan berikrar untuk tidak berpihak kepada mana-mana parti. Beliau menafikan cerita Trump yang mengatakan Caine memakai topi ‘Make America Great Again’ ketika mereka pertama kali bertemu. “Saya tidak pernah memakai sebarang barangan politik,” katanya.
Hubungan Trump dengan Caine bermula sejak pentadbiran pertama beliau. Mereka bertemu semasa lawatan ke Iraq, seperti yang diceritakan Trump dalam ucapan pada 2019. Trump pernah berkata Caine adalah ‘seorang jeneral sebenar, bukan jeneral televisyen’. – AP
