Thursday, April 18, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Senegal sukar bendung pencemaran sisa plastik

    DAKAR – Moussa Ndoye, seorang pengunjung pantai berusia 28 tahun di Dakar, ibu kota Senegal, meneguk air dari dua bungkusan plastik secara berturut-turut dan kemudian membuangnya ke atas pasir.

    “Ini adalah tong sampah kami,” katanya sambil tersenyum, duduk bersama rakan-rakan di bawah teduhan sebuah bot nelayan kayu yang besar.

    Pantai pasir putih dipenuhi dengan sisa plastik, termasuk bungkusan plastik berukuran saku yang digunakan untuk meminum air yang dibuang.

    Bungkusan air itu mudah didapati di kedai-kedai atau daripada peniaga jalanan, dan lebih murah daripada air botol, bungkusan air itu penting dalam kehidupan seharian di Senegal.

    Namun, bungkusan plastik itu adalah penyumbang utama kepada masalah sisa plastik yang mencemarkan jalan-jalan dan pantai-pantai negara di Afrika Barat.

    Pekerja membungkus beg plastik berisi air yang boleh diminum untuk penghantaran di Dakar. – AFP
    Seorang lelaki memuatkan beg plastik berisi air yang boleh diminum untuk penghantaran di Dakar. – AFP
    Seorang penjual menjual bungkusan plastik berisi air yang boleh diminum di Dakar. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Bungkusan air mengambil masa 400 tahun untuk mengurai menjadi mikroplastik, menurut Adams Tidjanis, profesor kajian alam sekitar di sebuah universiti swasta di Dakar.

    Di Senegal, lebih daripada 250,000 tan plastik dibuang setiap tahun, manakala hanya kira-kira 30,000 tan dikitar semula, menurut laporan 2022 oleh Kementerian Perancangan Bandar.

    “Sisa plastik banyak didapati di pantai, ia adalah sebahagian daripada sisa plastik yang paling kerap kali dilihat,” kata Pape Diop, ketua persatuan perlindungan alam sekitar.

    Sebelum ini, “Nelayan membawa tin (air) ke laut, tetapi sekarang mereka menggunakan bungkusan air untuk di minum, kemudian membuangnya – sisa ini semua berakhir di sini (di pantai) kerana laut menolaknya,” tambahnya.

    Selain mencemarkan air, bungkusan plastik itu juga menyebabkan longkang tersumbat, sehingga mengakibatkan banjir di bandar.

    Ia sering dibakar bersama sisa-sisa lain, melepaskan toksin ke udara.

    Di Dakar, bungkusan plastik itu berselerak di padang sukan, tapak pembinaan dan persimpangan yang sibuk.

    Ia lebih ketara semasa musim panas, iaitu dari Jun hingga Oktober.

    Ia adalah fenomena yang dilihat di kebanyakan benua, dengan bungkusan air biasa di Nigeria, Ivory Coast dan Burkina Faso.

    Namun, Kenya dan Rwanda masing-masing mengharamkan penggunaanya berdasarkan larangan ke atas plastik sekali guna sejak 2017 dan 2019.

    Senegal telah meluluskan undang-undang plastik sekali guna yang serupa pada 2020, sebagai tambahan kepada undang-undang pada 2015.

    Tetapi pengecualian dibuat bagi bungkusan plastik dan jenis plastik lain memandangkan pandemik COVID-19, yang memberi kesan teruk kepada mereka yang hidup dari hari ke hari.

    “Realiti sosio-ekonomi kami tidak membenarkan kami untuk melarang sepenuhnya,” jelas Khadidjatou Drame, yang mengendalikan urusan undang-undang di kementerian alam sekitar.

    Sekitar 50 jenama bersaing dalam pasaran bungkusan air di Dakar. Mereka menjual bungkusan itu secara individu atau dalam kelompok 30.

    Bungkusan plastik berisi 400 ml dijual dengan harga 50 franc CFA (A$0.08) di jalanan. Manakala bungkusan berisi 250 ml dijual dengan harga 25 CFA franc.

    Amadou Diallo, 63, melancarkan jenama ‘Debeya’ pada 2017.

    Di kilang kecilnya di pinggir bandar Dakar di Guediawaye, air paip mengalir melalui tiga tiub biru yang mengandungi kapas, benang dan arang batu untuk membersihkannya.

    Air tersebut mengalir melalui dua tangki 1,000 liter dan kemudian masuk ke dalam mesin pembungkus yang mengisi bungkusan plastik, dikemaskan dan meletakkannya di dalam sebuah bekas biru.

    Diallo mengatakan bahawa dia menghasilkan 9,000 hingga 12,000 bungkusan setiap hari semasa musim panas.

    Kos permulaan tidak banyak – satu meter kubik air paip berharga 202 CFA franc.

    Semua pengeluar diwajibkan untuk memperoleh kebenaran kerajaan untuk beroperasi – tetapi ramai yang gagal mematuhi peraturan kebersihan, menurut Mbaye Loum, ketua Perkhidmatan Kebersihan Negara kementerian kesihatan.

    Ramai pelanggan memberitahu AFP bahawa mereka meragui tentang sumber air yang mereka minum.

    “Kami bahkan tidak boleh mengira” berapa banyak pesaing yang beroperasi secara rahsia, kata Diallo, yang operasinya diberi kebenaran.

    “Mereka membangunkan kilang secara tertutup dan awda tidak akan mengesyaki bahawa air dihasilkan (di dalam).” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ular punca perkhidmatan kereta api Jepun tergendala

    TOKYO, 17 APRIL – Walaupun kelewatan kecil dalam kereta api peluru yang sangat dibanggakan di Jepun adalah jarang berlaku, dan yang lebih luar biasa...