Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seniman dua negara bergabung karya

    DAKAR – Sebuah pemandangan warna-warni menyambut pembukaan Seni Kontemporari Afrika Dakar yang diadakan dua tahun sekali ini di ibu kota Senegal, jelas berbeza dengan tema serius mengenai perhambaan yang ditampilkan dalam karya seni artis-artis jemputan dari Amerika Syarikat.

    Pameran dari Amerika Syarikat (AS) itu menampilkan tujuh artis Afrika Amerika yang karya mereka mengkaji kesan perhambaan masa lalu, masa kini dan masa depan. Ia merupakan sebahagian daripada festival antarabangsa yang diadakan setiap tahun dan dikenali sebagai Dak’Art.

    Jubah tradisional boubous, berlengan lebar yang dipakai di seluruh Afrika Barat, bercampur dengan sut hitam dan tali leher pada majlis pembukaan yang berlangsung di Dakar, ibu kota Senegal minggu lalu.

    Pameran itu, yang diasaskan pada 1989 oleh kerajaan Senegal untuk mempromosikan dunia seni yang berkembang maju di benua itu, telah menjadi salah satu yang paling penting dalam kalangan artis Afrika.

    Tema tahun ini, The Wake, menampilkan 58 artis dari 33 negara yang meneroka pelbagai makna dan perwujudan istilah itu, seperti penggalian, perkabungan dan penyingkiran, menurut penganjur.

    Seorang pengunjung meneroka pameran antarabangsa di Dakar Biennale of Contemporary African Art di Dakar, Senegal. – AP
    Antara karya yang dipamerkan semasa pameran berkenaan. – AP
    Antara pengunjung yang hadir semasa pameran berkenaan. – AP
    Seorang pengunjung mengambil gambar semasa pameran antarabangsa di Dakar Biennale of Contemporary African Art. – AP
    Gambar AP

    Idea utama di sebalik tema itu adalah untuk menghubungkan masa lalu dan masa depan dengan memberi mereka kepentingan yang sama, kata pengarah artistik Dak’Art, Salimata Diop, dalam dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

    Amerika Syarikat merupakan tetamu kehormat pada acara tahun ini.

    Karya seni oleh artis Afrika-Amerika meneroka kepercayaan budaya mengenai kehidupan selepas mati yang dipegang oleh suku Lebou, salah satu kumpulan etnik Senegal.

    Terdapat juga keseluruhan abjad baharu yang digambarkan pada corak rambut kerinting Afrika, serta pameran interaktif yang cuba memberikan pengalaman kepada penonton tentang bagaimana rasanya menjadi seorang hamba yang dilempar ke dalam air.

    Kesan peninggalan perhambaan mempengaruhi semua rakyat Amerika, kata Diana Baird N’Diaye, kurator pameran itu, yang berpangkalan di antara AS dan Senegal. Seni yang dipamerkan bukan sahaja berkaitan dengan masa lalu, tetapi juga melihat ke arah masa depan, tambahnya.

    “Kami berada di sini kerana mereka (nenek moyang kami) bertahan dari perhambaan di Amerika,” katanya. “Kami berada di sini kerana nenek moyang kami, datuk nenek kami terselamat dari era Jim Crow.”

    “Dan kini kita berada di satu lagi detik penting,” kata Baird N’Diaye.

    Dak’Art diadakan ketika beberapa negara di rantau ini menjauhkan diri daripada sekutu tradisional Barat dan berpaling kepada rakan kongsi baharu, seperti Rusia dan China, dengan sejarah yang kurang rumit di rantau ini.

    Di sebuah rantau yang digegarkan oleh rampasan kuasa dan keganasan pelampau dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Senegal berjaya mengekalkan reputasinya sebagai sebuah negara demokrasi yang stabil.

    Walau bagaimanapun, parti pemerintah Senegal yang bakal menghadapi pilihan raya telah berjanji untuk meneliti semula hubungannya dengan negara-negara Barat, namun belum mengambil sebarang keputusan radikal setakat ini.

    Menteri Belia, Sukan dan Budaya Senegal, Khady Diene Gaye memberitahu pemberita bahawa peranan AS sebagai tetamu kehormat merupakan tanda pentingnya seni sebagai alat untuk dialog antara rakyat, mempromosikan keamanan, saling memahami, tetapi yang paling penting sebagai alat untuk pembangunan ekonomi dan sosial.

    Dak’Art berlangsung sehingga 7 Disember. Pada asalnya dijadualkan pada Mei, acara itu ditangguhkan berikutan ketegangan politik sekitar pilihan raya presiden April dan isu pembiayaan yang menurut pihak berkuasa baharu disebabkan pentadbiran terdahulu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda