Tuesday, April 22, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa bahagikan masa

    Jika ada pihak menganggap permainan video melalaikan pelajar, pelakon Zahiril Adzim percaya hobi itu boleh mendatangkan manfaat jika dilakukan berhemah.

    Pelakon filem Kron itu berkata, remaja perlu bijak membahagikan masa antara bermain video dan menelaah pelajaran bagi mengelak diri leka atau ‘hanyut’ dengan kegiatan riadah itu.

    Berfikiran positif, Zahiril menambah, kebolehan bermain video jika dimanfaatkan membolehkan pelaku menguasai bidang sukan elektronik (e-sukan) dan menjana pendapatan pada usia remaja.

    “Saya bermain video sejak zaman kanak-kanak. Namun, sejak 10 tahun lalu, saya berhenti dan memberi perhatian kepada karier seni. Sekarang, saya aktif dalam e-sukan dan menjana pendapatan daripadanya. Saya nasihatkan pelajar sekolah yang mahu aktif dalam e-sukan dan mencari wang agar habiskan dulu pelajaran. Boleh main video tapi kena pandai bahagikan masa,” katanya kepada media.

    Zahiril berkata, dia mula berjinak-jinak dengan e-sukan selepas memperlahankan kerjaya lakonan, beberapa tahun lalu.

    Zahiril Adzim menyatakan bermain video permainan mendatangkan manfaat jika dilakukan secara baik. – Agensi

    Akuinya, ketika itu, dia tidak menyangka aktiviti e-sukan boleh menjana pendapatan.

    “Pada mulanya, saya memuat turun aplikasi permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dalam telefon pintar diikuti komputer peribadi. Selepas aktif bermain, saya anggap kegiatan ini tidak membuang masa. Jika pandai mengatur strategi, anda boleh menjana wang dan lebih hebat, mewakili negara dalam pertandingan e-sukan di peringkat antarabangsa,” katanya.

    Zahiril tahu ramai anak muda tidak sedar dengan potensi bidang e-sukan.

    “Saya harap apabila orang tahu saya aktif dalam e-sukan, saya dapat bantu mempromosikan komuniti ini,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM20,000 sebagai modal awal berkecimpung dalam bidang berkenaan.

    Zahiril atau nama penuhnya, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar bercita-cita mahu membuka gaming house atau premis permainan video untuk anak muda.

    Dalam perkembangan terbaharu, Zahiril rancak mempromosikan filem Kron arahan Opie Zami yang mula memasuki pawagam.

    Selain Zahiril, filem fiksyen itu dibintangi Dayana Roza, Aman Graseka, Opie Zami, Ellie Suriati Omar dan ramai lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda