Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Melakukan perubahan itu janganlah hanya sekadar retorik dengan anganangan kosong atau khayalan semata-mata, akan tetapi perubahan itu mestilah disusuli dengan tindakan, azam dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Perkara itu ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk, Muhasabah Diri Amalan Terpuji, dan seterusnya menambah, dengan meninggalkan tahun 2022 ia memberi banyak kenangan antaranya kenangan manis, menikmati keamanan dan kemakmuran di negara ini.
Dengan apa yang telah dinikmati sepanjang tahun ini, khatib menyeru untuk sama-sama merafakkan syukur dan doa, semoga nikmat keamanan dan kemakmuran akan berterusan di sepanjang tahun 2023.
Khatib turut mengingatkan, sekiranya lalai dan leka atau tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT, tidak mustahil nikmat ini akan hilang pada bila-bila masa kerana semua yang dimiliki hanya pinjaman semata-mata.
Adalah menjadi kewajiban untuk umat Islam sentiasa mensyukuri dan mengharapkan agar nikmat Allah SWT akan sentiasa berkekalan.
“Pelbagai peristiwa suka duka, pahit dan manis yang berlaku sepanjang tahun ini merupakan warna-warni dan asam garam dalam kehidupan, dan jadikan ia sebagai satu iktibar supaya dapat meniti dan menjalani kehidupan yang mendatang dengan lebih baik berbanding sebelumnya,” tekan khatib.
Di penghujung tahun ini merupakan waktu yang amat sesuai bagi semua untuk muhasabah iaitu menilai dan memperbaiki akan kesilapan dan apa juga kekurangan diri sendiri.
“Rasulullah SAW menyifatkan, orang yang sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri adalah sebagai orang yang bijak,” tambahnya.
Selaku hamba Allah, jelasnya, umat Islam dituntut untuk bermuhasabah sama ada telah menyempurnakan dan menunaikan segala kewajipan yang telah diperintahkan Allah SWT termasuk menilai kesungguhan dalam mentaati segala perintah dan laranganNya.
Ini termasuk mendirikan sembahyang fardu lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa, menjauhi perbuatan mungkar seperti zina, riba, rasuah dan seumpamanya.
Di samping itu, hendaklah juga menyemak dan memeriksa sama ada telah berhasil atau sebaliknya dalam menanai dan melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab diri sebagai ibu bapa, tanggungjawab sebagai seorang anak, tugas sebagai pelajar, tugas sebagai pekerja, ketua dan seumpamanya.
“Jika setelah muhasabah itu, tugas dan tanggungjawab adalah pada tahap yang baik, berusahalah menuju kepada tahap yang lebih baik lagi,” katanya lagi.
Sementara jika sebaliknya, tambahnya, apa yang didapati setelah bermuhasabah itu masih merasakan terdapat kekurangan, kelemahan dan keburukan, hendaklah melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Dengan memahami pendekatan ini, tegas khatib, kita akan sentiasa teringat bahkan terdorong untuk memperbaiki segala kekurangan, kelemahan dan keburukan diri sendiri.
Khatib turut menegaskan, kita hendaklah sentiasa bermuhasabah kerana sifat manusia mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu kepada peringatan.
“Jika kelemahan dan kekurangan itu dibiarkan dengan begitu saja, sudah tentu ia akan menyukarkan untuk melihat dan menilai kelemahan diri sendiri dan lebih banyak menilai kelemahan dan keaiban orang lain,” katanya.
Menurut khatib, apabila datang tahun baharu, ia sering dikaitkan dengan azam baharu.
Mempunyai azam merupakan satu perkara yang mesti ada pada diri seseorang kerana ia merupakan satu motivasi dan pendorong untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan lebih bersungguh-sungguh.
Ke arah itu, tanamkan azam yang jitu supaya dapat mencapai dan memperoleh apa yang dihajati.
Dengan kedatangan tahun baharu Masihi ini, sama-samalah kita muhasabah dan menamakan azam untuk memperbaiki iman, untuk sentiasa melakukan perubahan menjadi Muslim yang lebih baik.
Khatib di akhir khutbahnya menyeru semua untuk terus muhasabah diri dalam kehidupan seharian agar menjadi Muslim yang lebih bertakwa, lebih pemurah, lebih patuh dan mentaati segala perintah dan larangan Allah SWT.