Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Bagi menerapkan pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal, menghadiri latihan kebakaran dan pengosongan bangunan telah dijalankan di Sekolah Rendah Kasat pada 7 Julai lalu.
Latihan berkenaan dikendalikan oleh Unit Perhubungan Awam bersama anggota dari Balai Bomba Sungai Kebun, Cawangan Operasi ‘D’ yang diketuai oleh ABK 235 Mohd Mahari bin Haji Sidop dengan melibatkan warga sekolah yang terdiri daripada guru-guru dan murid-murid seramai 66 orang termasuk marsyal bomba.
Latihan itu dijalankan setiap tahun bagi memastikan kesiapsiagaan warga sekolah jika berlakunya kecemasan terutama sekali kebakaran.
JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan menyarankan orang ramai untuk memastikan bahawa bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 2kg dan selimut api, mengetahui tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap di dalam bangunan sekolah bila berlakunya kebakaran serta mengetahui akan tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di bangunan sekolah dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik.
Jabatan berkenaan juga menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Mengenai Kebakaran, LS995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
