Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa tunjuk peningkatan

    Biarlah dirinya kurang popular, dilimpahi cerita sensasi ataupun tidak diperkatakan ramai asal kerjaya seni sentiasa menunjukkan peningkatan. Itulah pendirian pelakon, Chacha Maembong, 23.

    Tidak seperti kakaknya, Emma Maembong, Chacha dilihat seorang artis yang lebih bersikap low profile. Pada masa sama, dirinya berusaha mengelak daripada terjerumus ke lembah kontroversi, mahupun menyaksikan kisah peribadinya dijaja.

    Seboleh-bolehnya, Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail Embong tidak rela andai diri dihambat gosip liar yang memalukan dirinya.

    Chacha berkata, dia sengaja memperlahankan rentak kerjaya seni supaya dirinya tidak terlalu menonjol.

    “Apa gunanya jika wajah sering menghiasi kaca TV, tetapi cuma bersifat seketika. Ramai orang meramalkan, jika nama kita cepat naik, maka dengan mudah juga kita akan jatuh. Jadi, saya pilih jalan pertengahan, biar lambat asalkan selamat. Saya tidak mahu melalui gelombang naik turun, tetapi saya mahu kekal relevan. Memang ia bukan mudah, apatah lagi dengan kemunculan ramai bintang baharu. Tetapi, ia tetap persaingan yang sihat. Saya juga bukan sudah hilang taring seperti diperkatakan, tetapi saya pilih jalan untuk tidak terlalu menonjol ke depan,” katanya.

    Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama, Kau Yang Terindah, pada 2012 itu berkata, rezeki tetap tidak putus-putus dalam bidang berkenaan biarpun dirinya tidak menonjol seperti Emma.

    “Saya tahu, nama Emma sering menjadi bualan, saya pula kelihatan sepi. Saya memang memilih jalan ini kerana tidak sanggup melalui kontroversi seperti dihadapi kakak. Bayangkan, walaupun Emma yang terpalit kontroversi, tetapi ramai wartawan tetap mencari saya. Ia agak memeningkan kepala. Bukan saya tidak mahu mengangkat panggilan, tetapi saya bukannya si empunya badan. Saya tidak tahu apa yang Emma rasa, jadi saya tidak berhak memberikan komen. Kontroversi membabitkan Emma turut menyedarkan saya, lebih baik saya pilih hidup sederhana dan tidak terlalu menjadi perhatian umum,” katanya yang sedang mempromosikan filem lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan. – Agensi

    Chacha Maembong mengatakan bahawa biarlah bersikap low profile asal berikan peningkatan. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda