Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentuhan Seni Ukir Inai usahawan suami isteri

    Oleh Nurdiyanah R.

    Ukiran inai atau henna yang kreatif dan penuh dengan nilai seni bukanlah sesuatu yang mudah untuk diolah tanpa adanya minat, ketelitian serta keyakinan dalam diri pelukisnya.

    Setiap gerak geri tangan diadun dengan idea-idea karya yang indah lagi menarik itu sentiasa bermain dalam minda para pelukisnya demi menghasilkan pelbagai seni ukir inai yang begitu memukau mata para penggemarnya.

    “Semestinya bakat atau kemahiran seni ukir inai ini adalah anugerah daripada Allah SWT yang wajib kami syukuri, lebih-lebih lagi kami sememangnya meminati dunia seni ini sejak beberapa tahun yang lalu. Oleh itu alangkah baiknya jika anugerah bakat dalam mengukir inai ini dapat dikongsi bersama para penggemarnya terutamanya pada hari-hari istimewa me-reka seperti majlis perkahwinan termasuklah acara pertunangan, mandi belawat dan juga individu,” kata usahawan tempatan yang mengusahakan perkhidmatan seni ukir inai, Dayang Normunirah binti Haji Latif bersama suaminya, Awang Mohd Nur Syafiq bin Basir semasa ditemui wartawan Media Permata baru-baru ini.

    Penjagaan kualiti inai

    Dayang Normunirah yang kini berusia 27 tahun telah menceburi dunia seni ukir inai ini sepenuh masa secara rasminya sejak tahun 2016 bersama suaminya dan menjelaskan bahawa lazimnya inai itu terbahagi kepada dua jenis iaitu semula jadi dan juga segera (instant) yang mana inai semula jadi itu lebih tahan lama warnanya.

    Beliau menyediakan warna inai meliputi warna merah gelap, merah, jingga, putih, coklat gelap dan sebagainya serta melukis pelbagai corak bunga yang begitu indah dan unik. Dalam pada itu, semasa mengaplikasikan inai pada tangan pelanggan, keadaan suhu bilik yang sejuk amat dititikberatkan agar inai tidak rosak atau mengelak daripada mengalami kecairan.

    Usahawan suami isteri tempatan dalam seni ukir inai, Dayang Normunirah dan Awang Md Nur Syafiq semasa ditemui wartawan Media Permata, baru-baru ini.
    Dayang Normunirah ketika melukis inai pada tangan pelanggannya.
    Setiap gerak geri tangan diadun dengan idea-idea karya yang indah sentiasa bermain dalam minda usahawan seni ukir inai suami isteri.
    Antara koleksi ukiran atau corak inai yang dihasilkan dari sentuhan kreatif usahawan seni ukir inai suami isteri ini.

    Manakala Awang Mohd Nur Syafiq juga menekankan bahawa apabila inai sudah kering, pastikan tangan dicuci dengan air biasa dan disarankan menggunakan baby oil agar kualiti warna inai mampu bertahan lebih lama. Namun perlu diingat juga agar tidak menggunakan sabun semasa membasuh tangan kerana ia boleh menjadikan warna inai semakin memudar atau cepat hilang.

    Pentingnya ketertiban batas

    Dalam pada itu, Awang Mohd Nur Syafiq juga menekankan bahawa dalam menjalankan perkhidmatan seni ukir inai ini, adab-adab atau ketertiban batasan sentiasa dititikberatkan bersama para pelanggan. Salah satunya dari segi pemakaian sarung tangan agar tidak bersentuhan.

    “Oleh itu, seorang pelukis inai bukanlah hanya memiliki kemahiran melukis semata-mata, bahkan ilmu yang berkaitan dengan dunia seni ukir inai juga perlu dipelajari misalnya dari segi penggunaan bahan-bahan yang baik dan juga sentiasa memastikan bahawa segala ukiran atau corak yang dihasilkan tidak bercanggah dengan elemen-elemen agama,” tegasnya yang juga menjalankan perkhidmatan seni ukir inai dengan nama Dhenna.mens di media sosial dengan penuh kesungguhan.

    Latihan berterusan

    Dengan berbekalkan bakat semula jadi, pasangan usahawan suami isteri yang berasal dari Kampung Bengkurong ini sememangnya tidak pernah mengikuti sebarang kursus atau pembelajaran untuk melukis inai. Mereka hanya mempelajari segala kaedah atau teknik mengukir melalui aplikasi media sosial seperti YouTube sahaja.

    “Satu perkara yang semestinya diamalkan ialah latihan secara berterusan agar segala bakat dan juga kemahiran seni khususnya dalam seni ukir inai ini semakin kemas dan cantik dengan pelbagai idea atau ilham yang menarik demi untuk memberi kegembiraan kepada para penggemarnya,” tambah Dayang Normunirah.

    Tetap bangkit berjuang

    Berkat sokongan dan dorongan yang sangat mendalam daripada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga, suami isteri yang bersikap positif ini tetap bangkit berjuang tanpa jemu sehingga ke hari ini meskipun arus gelombang dunia keusahawanan sentiasa mengalami pasang surutnya.

    “Sambutan daripada orang ramai khususnya masyarakat di negara ini amat menggalakkan yang mana rata-rata mereka jelas meberikan sokongan padu kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

    “Namun, perlu diingat bahawa dalam menceburi dunia keusahawanan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sabar, ikhlas dan usaha serta tawakal itulah kunci segala-galanya,” ucap Awang Mohd Nur Syafiq, 24, dengan penuh keikhlasan.

    Positif dalam persaingan

    Sehubungan dengan itu, usahawan suami isteri yang bersemangat tinggi ini turut menyarankan kepada masyarakat di negara ini terutamanya generasi muda sentiasa berfikiran terbuka dan positif untuk sama-sama memanfaatkan bakat atau kemahiran yang ada melalui dunia keusahawanan meskipun wujudnya persaingan, namun yakin, fokus dan usaha yang lebih giat itu amat penting untuk memantapkan penghasilan perkhidmatan atau produk agar ia lebih menarik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

    “Semai dan peganglah prinsip ‘berkarih, berjarih, belurih’ tanpa berputus asa agar kita mampu meningkatkan prestasi perekonomian diri, keluarga dan juga negara meskipun bermula secara kecil-kecilan,” itulah antara kata-kata semangat yang disampaikan oleh Dayang Normunirah dan suami, yang turut memiliki harapan terbesar untuk membuka sebuah studio perkhidmatan inai suatu hari nanti semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda