PUTRAJAYA, 29 MEI – Seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes, demikian menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika membentangkan tinjauan itu di Kementerian Kesihatan di sini hari ini berkata, prevalens diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus daripada 13.4 peratus, pada tahun 2015.
“Peningkatan diabetes di Malaysia merupakan salah satu dapatan NHMS 2019 yang merisaukan. Sejumlah 49 peratus daripada penghidap diabetes di Malaysia, tidak pernah diperiksa atau didiagnosa menghidap penyakit ini,” katanya. Berdasarkan dapatan NHMS itu, tiga negeri merekodkan penyakit diabetes tertinggi iaitu Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang.
Hasil tinjauan NHMS 2019 itu Dr Adham berkata, seorang daripada empat orang dewasa berumur 16 tahun ke atas di Malaysia didapati tidak aktif secara fizikal, selain kira-kira 50 peratus penduduk dewasa di Malaysia, mengalami berlebihan berat badan. – Bernama