Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Seorang maut, 13 cedera dalam dua letupan bom

    NARATHIWAT, 20 MEI – Seorang maut dan 13 termasuk seorang anggota polis cedera dalam dua letupan bom di Daerah Jok Irong dan Sukhirin di Narathiwat, selatan Thailand, pagi tadi.

    Ketua Polis Region 9, Mej. Jen. Pol. Piyawat Chalermsi berkata kejadian letupan bom pertama telah berlaku pada 7:20 pagi tadi, di mana anggota sukarelawan pertahanan yang bertugas mengawal keselamatan jalan-jalan di Jok Irong telah menjadi sasaran.

    “Enam anggota sukarelawan pertahanan cedera dalam kejadian pertama dan mereka telah dibawa ke Hospital Jok Irong untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal polis di tempat kejadian, polis telah menemui serpihan bom yang di pasang dalam tong gas di tepi jalan.

    Manakala dalam kejadian letupan kedua, Piyawat berkata bom yang di pasang di tepi jalan Kampung Air Jambu Daerah Sukhirin meletup pada pukul 8:10 pagi tadi dan menyebabkan tujuh anggota sukarelawan pertahanan cedera.

    “Tujuh anggota yang cedera telah dihantar ke Hospital Sukhirin untuk menerima rawatan manakala seorang anggota sukarelawan pertahanan yang berusia 41 tahun telah meninggal dunia pada tengah hari tadi di hospital,” katanya.

    Piyawat berkata seorang anggota polis daripada unit pemusnah bom yang sedang membuat siasatan kes itu turut cedera parah selepas terpijak bom yang ditanam di tepi jalan di Sukhirin.

    “Anggota yang cedera parah di bahagian kaki, terpaksa dipindah dari Hospital Sukhirin ke Hospital Songkhla Nakharin di Hatyai dengan menggunakan helikopter untuk menerima rawatan,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini masih belum ada mana-mana kumpulan yang mengakui bertanggungjawab melakukan serangan itu. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...