Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lawatan Putera Mahkota Saudi ke Jepun ditangguh

    TOKYO, 20 MEI – Lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman ke Jepun terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan bapanya, Raja Salman yang kurang sihat, kata Jurucakap tertinggi kerajaan Jepun.

    Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Mahkamah Diraja di Riyadh berkata bapa Putera Mohammed yang berusia 88 tahun mengalami jangkitan paru-paru dan sedang menjalani rawatan melibatkan antibiotik.

    Putera Mohammed dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Fumio Kishida dan Maharaja Jepun, yang merupakan lawatan pertamanya ke Jepun sejak 2019.

    Tetapi kerajaan Arab Saudi memaklumkan Tokyo kelmarin bahawa, kerana kesihatan Raja Salman, lawatan itu telah ditangguhkan, Yoshimasa Hayashi memberitahu pemberita.

    “Lawatan Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Mohammed ke Jepun akan diselaraskan semula antara kedua-dua negara,” kata Hayashi.

    Gambar AFP

    Sumber Arab Saudi memberitahu AFP hari ini bahawa anggota delegasi masih akan pergi ke Jepun untuk beberapa rundingan.

    Raja Salman telah menaiki takhta sejak 2015, walaupun anak lelakinya yang berusia 38 tahun dinamakan putera mahkota pada 2017 dan bertindak sebagai pemerintah.

    Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia, selama bertahun-tahun berusaha untuk memadamkan spekulasi mengenai kesihatan Raja Salman.

    Tetapi Mahkamah Diraja mendedahkan pada April bahawa dia telah dimasukkan ke Hospital Pakar King Faisal untuk ‘pemeriksaan rutin’. Dia meninggalkan hospital pada hari yang sama.

    Sebelum itu, kemasukan ke hospital terbaharunya ialah pada Mei 2022, apabila dia menjalani kolonoskopi dan tinggal selama lebih seminggu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...