Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Serangan Israel di Gaza ‘bukan pembunuhan beramai-ramai’ – Biden

    WASHINGTON, 21 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden hari ini menafikan bahawa perang Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai, sambil mengecam permintaan tidak masuk akal oleh pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk waran tangkap terhadap pemimpin Israel.

    “Apa yang berlaku bukanlah pembunuhan beramai-ramai,” kata Biden semasa acara yang diadakan di Rumah Putih ketika beliau membincangkan konflik yang dicetuskan oleh serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.

    Kenyataannya merujuk khusus kepada kes di tribunal yang berbeza, Mahkamah Keadilan Antarabangsa PBB (ICJ), yang menangani dakwaan Afrika Selatan bahawa perang Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai.

    Tetapi dia juga meningkatkan kritikannya terhadap ICC, mahkamah jenayah perang yang berasingan, dengan mengatakan bahawa “kami menolak” usaha Pendakwa ICC, Karim Khan untuk menangkap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menteri pertahanannya.

    Khan juga berusaha untuk menangkap tokoh-tokoh terkemuka Hamas termasuk ketua kumpulan pejuang Palestin di Gaza, Yahya Sinwar dan ketua politik, Ismail Haniyeh.

    “Walau apa pun yang dimaksudkan oleh waran ini, tiada persamaan antara Israel dan Hamas,” kata Biden kepada hadirin di Taman Mawar, Rumah Putih.

    Biden berikrar untuk memberikan sokongan kukuh kepada Israel, menambah bahawa “kami berdiri bersama Israel untuk mengalahkan Sinwar dan pejuang Hamas lainnya.”

    Presiden AS juga berjanji untuk membebaskan tebusan yang ditawan oleh Hamas semasa serangan 7 Oktober dengan apa cara sekalipun.

    Beberapa jam sebelum itu, beliau telah mengeluarkan kenyataan bertulis yang mengatakan bahawa waran tangkap oleh ICC adalah tidak masuk akal. – AFP

    Joe Biden bercakap semasa sambutan Bulan Warisan Yahudi Amerika di Taman Mawar Rumah Putih di Washington, DC pada 20 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...