BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kumpulan Penasihat Belia (Youth Advisory Group) dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) telah mengadakan sesi dialog bersama lebih 40 belia kelainan upaya di Dewan Auditorium Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), baru-baru ini.
Menurut kenyataan, antara belia yang menyertai sesi dialog tersebut adalah dari pusat-pusat badan bukan kerajaan (NGO) di bawah payung MKOKU seperti Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP); Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan (BNAB); Pusat Ehsan; Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA); Persatuan Orang-orang Berkerusi Roda dan Orang-orang Cacat Anggota (PAPDA); SMARTER; penuntut di bawah Jabatan Pendidikan Khas dan Pusat Bahagia; dan sebilangan peserta awam.
Sesi dialog itu bertujuan untuk memperkenalkan Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 (DBNS 2020-2035) kepada golongan belia berkeperluan khas yang berusia 15 hingga 35 tahun, mengumpulkan input dan perspektif mereka untuk pembangunan negara yang lebih inklusif dan untuk memperkenalkan program dan inisiatif belia yang disediakan untuk OKU.
Sesi dialog dimulakan dengan pengenalan DBNS oleh Hajah Normie binti Haji Ramli dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta perkenalan dari agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pendidikan Khas dan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) dari Kementerian Pendidikan; Bahagian Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri (ABCi), Kementerian Pembangunan; dan Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) bagi memperkenalkan perkhidmatan dan program serta inisiatif mereka untuk OKU.
Para peserta juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti perbincangan tentang cabaran yang dihadapi sebagai belia kelainan upaya dan juga untuk berkongsi idea bagi mengatasi cabaran tersebut.
Antara cabaran yang dikongsi oleh para peserta termasuk penerimaan masyarakat dan kesukaran untuk mencari pekerjaan, selain mereka juga mengemukakan pelbagai cadangan termasuk peluang biasiswa pelajaran khas untuk OKU, pengajaran Braille dan bahasa isyarat di tahap sekolah dan menyediakan aktiviti kesedaran untuk orang ramai.
