Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Sesi rangkaian kukuh kerjasama

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Sebagai usaha berterusan mengukuhkan kerjasama, Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) telah menganjurkan sesi rangkaian bersama 11 agensi pelancongan Korea di Seoul, Republik Korea Selatan, baru-baru ini.
     
    Menurut kenyataan JKP, sesi itu turut disertai delegasi dari Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Darussalam Services, Freme Travel Services, Sunshine Borneo Tours & Travel, Anthony Tours & Travel dan The Empire Brunei.
     
    Sesi rangkaian yang dihoskan di pejabat Ejen Jualan Am Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB-GSA), dimulakan dengan pembentangan produk oleh JKP diikuti dengan rangkaian one on one yang telah dijadualkan antara delegasi Brunei dan agensi pelancongan Korea. 
     
    Sepanjang sesi berkenaan, peserta berpeluang mendapatkan maklumat terperinci mengenai pakej pelancongan yang disesuaikan untuk pengembara Korea dan membuka jalan kepada potensi kerjasama.
     
    Sesi rangkaian itu bertepatan dengan penyertaan Brunei dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul (SITF) ke-39, yang mempamerkan tawaran unik Brunei dan pakej yang disesuaikan khusus untuk pasaran Korea.
     
    Para delegasi semasa sesi rangkaian yang diadakan di agensi pelancongan Korea di Seoul, Republik Korea Selatan. – GAMBAR SERAHAN JKP
    Antara tawaran unik tersebut adalah seperti Brunei Wildlife dan Island Discovery yang disediakan untuk penggemar alam semula jadi, Play and Stay at The Empire Brunei yang menawarkan pengalaman golf sebenar, pengembaraan budaya Brunei, menyelam dalam Khazanah Kapal Karam Brunei, pengalaman Islamik tiga hari dua malam dan banyak lagi.
     
    Sejajar dengan objektif jabatan itu untuk mempromosikan aktiviti berpaksikan alam semula jadi, pengembaraan dan budaya, pakej tersebut telah direka bentuk untuk mendedahkan sebuah negara yang aman damai (darussalam), khususnya menyasarkan pasaran pelancong.
     
    Penyertaan di SITF telah menimbulkan minat dalam kalangan pihak berkepentingan dan dijangka meningkatkan jumlah pelancong Korea yang melawat Brunei, membina kehadiran negara itu dalam pasaran pelancongan global.
     
    Pada 2023, Brunei mengalu-alukan 4,020 pelancong Korea dan menjangka peningkatan jumlah menjelang akhir tahun ini.
     
    JKP telah menyediakan beberapa siri kempen dan aktiviti pemasaran untuk tahun 2024, dengan penyertaan akan datang di Pameran Pelancongan NATAS di Singapura pada Ogos 2024.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...