Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesingkat satu malam

    Oleh Salina MS – 

    Malam. Kedengaran anjing melolong. Lynn tersentak. Tidak pernah ada anjing di kawasan perumahan itu. Baru ingat. Jendela gelangsar ruang tamu masih berbuka.

    Lynn laju ke ruang tamu. Ruang tamu jarang digunakan kecuali waktu hari raya. Jendela dikunci laju. Tiba-tiba, Lynn terasa bahunya dicucuk. Tajam. Macam kuku. Lynn takut. Ayat kursi dibaca. Bacaan terhenti-henti. Diulang baca.

    Tetap tidak habis ke hujung ayat. Lynn kuatkan semangat. Kumat-kamit menyebut nama Allah. Lalu ditoleh. Tiada apa pun. Sederas kilat, Lynn kembali ke ruang keluarga. Pintu segera dikunci. Tiba-tiba, Lynn terbau bunga cempaka…

    “AKU sudah cakap, jangan! Tapi, kau buat-buat tak dengar!” herdik Apon. Cemas. Takut. Depan mata sekujur tubuh lelaki tua atas lantai kayu yang berlapik tikar plastik lama yang banyak koyak.

    “Orang ini jadi begini bukan pasal kita.” Apai tidak mahu kalah. “Kau yang salah. Kau yang arah pecah masuk ke rumah buruk ini. Konon nak belajar mencuri. Tengok, tak ada apa yang berharga,” sambung Apai. Sakit hati dikasar abang sendiri. Ketika pecah masuk, lelaki tua itu sudah kaku atas lantai.

    Gambar Freepik

    “Sekarang macam mana?” Apon buntu.

    “Kau nampak apa yang aku nampak?” Tiba-tiba, Apai teruja. Mencapai benda di tangan kanan orang tua itu.

    “Aku nampak dulu. Jadi, ini aku punya.”

    “Kau ambillah. Tauke mana yang mahu beli cincin tembaga berkarat begitu,” geram Apon.

    “Ri kata, barang-barang antik begini berisi.” Apai girang. Cincin digosok-gosok. Ri seorang pemuda dari Lawas. Menuntut ilmu persilatan dan kebatinan. Ri mudah disenangi ramai dan mudah mendapat wang.

    “MA!” jerit Lynn berlari menuju dapur. Meremang bulu roma. Cempaka dan perkuburan, sangat sinonim. “Aku di sini!” Suara kedengaran dari dapur.

    Pintu dapur ditolak laju. Nampak hidangan atas meja. Lynn belum menjamah makanan sejak Asar. Sibuk siapkan novel misteri yang ke-10. Penerbit sudah bising.

    Draf akhir, asmaradana Puteri Tunggul Pisang dengan Arjuna mat despatch lurus bendul, wajib siap esok. Meja dihampiri. Lynn teruja. Tumis sardin, sayur pakis, nasi beras kebun.

    Lupa fenomena dialami tadi, Lynn menikmati dengan lahap. Tidak terfikir, emak tidak pernah menyediakan hidangan tanpa ditutup tudung saji.

    “Apa pasal nasi rasa lain?” Serentak berhenti menyuap. “Ma!” panggil Lynn. Menyangka emak ada di dapur basah yang luas, berpintu daun longgar dan berjarak dapur kering.

    “Kenapa?” Suara itu mendatar. Lynn dan emak sahaja yang mendiami Teratak Warisan. Pasti suara emak.

    “Nasi ni rasa lainlah, ma.” Tiada respons.

    Lynn berkerut. Bingkas dari bangku. Menuju dapur basah. Pintu daun longgar ditolak. Tiba-tiba, lampu berkelip-kelip. “Rosak lagikah mentol ni?” fikir Lynn.

    Pandangan didongak ke tangga besi berbentuk spiral untuk ke tingkat atas. Emak baru naik agaknya. Fikir Lynn.

    “GELAP. Rumahkah apa ni? Kau biar betul Apon.” Apai berbisik cemas. “Betul. Ini rumah penulis terkenal itu,” Apon yakin.

    Rumah itu selalu menjadi tempat si penulis kemaskini status mengenai penulisan. Apon pengikut facebook si penulis. Ciapan status terkini ialah mengenai novel misteri yang kesembilan yang sudah terjual lebih 30,000 naskah. “Pasti ada banyak duit.”

    “Rumah gelap. Banyak duit apa!” Apai marah. Waktu pecah masuk tadi tidak gelap pun.

    “Lampu kecil mana? Hidupkanlah. Itupun mahu dikasi tahukah?” marah Apon.

    “Kau tak ingatkah.” Lampu jatuh ketika memanjat pagar. “Kita keluar. Cepat!” arah Apai tiba-tiba cemas.

    Tadi, tubuh orang tua itu mengerepot depan mata. Sekarang, mereka terperangkap dalam ‘gelap’ rumah penulis. Jangan-jangan, penulis ini juga pelihara saka.

    “Pegang tangan aku!” arah Apon setuju. “Kita keluar dari sini.”

    Apai menghala tangan ke arah Apon.

    Apon tegang. “Mana tangan kau? Jangan main-main.”

    “Aku belakang kau. Cepat! Capai tangan aku.”

    “Dekatkan tubuh kau. Aku depan kau.”

    “Aku belakang kau. Mana kau?”

    “TOLONGGG” Suara kedengaran datang dari ruang tamu.

    Lynn tersentak. Segera keluar. Telinga dihampir ke pintu. Tiada kedengaran apa pun. “AKU dah kata, jangan pecah masuk rumah orang lagi. Tapi kau degil.”

    “Kalau aku tak degil, kita berdua nak makan apa?” sinis Apon. Lepas kematian ibu bapa, sanak-saudara tidak ambil peduli.

    Tiba-tiba, kedengaran angin bertiup. Angin itu terasa sejuk menggigit. Apai melulu laju ke arah angin. Yakin, itu jendela yang mereka pecah masuk tadi. Tiba-tiba, Apai terasa bergelut. Semacam dalam angin pusaran.

    “Apon tolong aku, Apon.” Apai menjerit semahu hati.

    Jeritan tidak bersambut. Tiba-tiba, cincin tembaga berkarat terlepas. Angin pusaran terhenti. Tubuh Apai terhumban ke tanah yang terang dipanah bulan.

    Apon melulu mendekati Apai. “Cepat keluar dari sini.”

    Apai terangih-angih. Nafas tersekat-sekat. “Orang kampung ini memang bela saka.”

    “Cepat bangun. Kita keluar dari sini.” Apon menarik tangan Apai supaya segera bangun dan beredar.

    Maka, berlarilah Puteri Tunggul Pisang meninggalkan pelaminan. Berlapisan tujuh helai tirai dari jenis kain sutera putih terbaik. Air mata berjuraian setiapkali merujuh lapisan demi lapisan. Jarak antara satu lapisan sejauh 50 meter. Pada lapisan ketiga, sebelah sepatu kaca tertanggal. Langsung sebelah lagi sepatu ditanggalnya. Lalu terus berlari menuju lapisan keempat. Setiapkali menghampiri lapisan itu, pandangan jadi berbalam. Tiba-tiba, tirai itu nampak jauh jauh dan jauh.

    Lynn tersedar. Aku mimpikah? Sandaran diangkat dari kerusi. Draf akhir masih tertera depan tetingkap laptop atas meja. Rupanya, Lynn tertidur ketika menyiapkan draf akhir itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda