Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shah United cipta keajaiban

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Pasukan Shah United mencipta sentuhan ajaib apabila bangkit pada 10 minit terakhir untuk menewaskan MS ABDB 6-5 dalam perlawanan dramatik Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024-2025 yang berlangsung di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.

    Kemenangan menarik itu merancakkan lagi perebutan kedudukan terbaik dalam BEFL yang kini memasuki pusingan kedua.

    Pemain import dari Thailand, Faisol Muso, muncul wira Shah United apabila meledak jaringan kencang pada minit ke-34 sekali gus memastikan kemenangan penuh bermakna selepas pasukan itu tewas kepada Kasuka Ar Rawda minggu lalu.

    MS ABDB terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Abdul Matin Norazlan pada minit ke-6 namun Ridzwan Awaebuesa pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

    Pasukan MS ABDB terus menguasai permainan dengan ketua pasukan, Awangku Md Jumatatul Aleshahmezan, menjaringkan dua gol pada minit ke-13 dan ke-32.

    Aksi pemain Almerez Hitune FC berentap dengan pemain Arbisyam FC. – GAMBAR SERAHAN BEFL

    Selepas itu, Abdul Malik Abdullah Ali Kasim pula menambah gol pada minit ke-17, diikuti jaringan Mohd Asyrol Rafiuddin Asmadi pada minit ke-29 sekali gus menjadikan kedudukan semakin memihak kepada MS ABDB.

    Namun, kelincahan Ridzwan Awaebuesa kembali menyinar apabila beliau melakar hatrik berturut-turut pada minit ke-30, 31 dan 33.

    Jaringan Norazam Rusli pada minit ke-33 turut menyemarakkan semangat Shah United yang akhirnya disempurnakan oleh Faisol Muso bagi memastikan kemenangan dramatik 6-5.

    Dalam perlawanan yang lain, Kasuka Ar Rawda terus mempamerkan dominasi apabila membelasah DDT FC 10-1, sekali gus mengekalkan kedudukan di puncak carta BEFL.

    Sementara itu, Almerez Hitune FC kembali naik ke tangga kedua liga selepas mencatat kemenangan meyakinkan 5-0 ke atas Arbisyam FC.

    Dalam aksi Liga Premier Futsal Brunei (BPFL) 2024-2025, MS PDB berjaya menewaskan PES 5-0, sekali gus menyamai pungutan 18 mata dengan pendahulu liga, Hars Elite, tetapi dipisahkan oleh kelebihan jaringan.

    Kejohanan BPFL dijangka mencapai kemuncaknya apabila MS PDB dan Hars Elite bertemu dalam perlawanan penentuan kejuaraan yang dijadualkan pada awal bulan depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda