Thursday, October 17, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SHENA seru pematuhan piawaian keselamatan lif di tempat kerja

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah menganjurkan program jangkauan mengenai kerangka undang-undang berkaitan dengan peralatan mengangkat dan penggunaan lif dengan selamat, di Auditorium Utama, Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk & Teknologi (D&T), kelmarin.

    Pelaksanaan program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak yang berkepentingan mengenai kepentingan bagi mematuhi undang-undang yang berkenaan serta piawaian-piawaian keselamatan yang berkaitan dengan peralatan pengangkat termasuk penggunaan lif dengan selamat di tempat kerja.

    Hal itu kerana pemasangan lif yang tidak sempurna atau penggunaan lif yang rosak boleh membawa bahaya dan risiko yang serius kerana kekurangan integriti struktur atau rosak pada bila-bila masa yang boleh mengakibatkan kematian. Inisiatif itu didorong akibat daripada dua kematian di tempat kerja pada tahun 2020 dan 2024 yang melibatkan penggunaan lif kargo buatan sendiri atau yang diubahsuai.

    Semasa program tersebut, SHENA telah menekankan kepentingan mematuhi kerangka undang-undang dan piawaian-piawaian keselamatan bagi memastikan operasi peralatan mengangkat berjalan dengan selamat serta mengelakkan kemalangan.

    Program itu secara keseluruhannya telah menampilkan pembentangan daripada ahli-ahli pakar, termasuk wakil SHENA dan pembentang jemputan, yang antara lainnya memberikan pandangan bernilai mengenai kerangka undang-undang, keperluan keselamatan, serta kajian dan penerangan berkaitan peralatan mengangkat.

    Program berkenaan telah dihadiri wakil-wakil daripada sektor kerajaan dan badan-badan berkanun seperti ABCi, DME JKR, BAPEQS, JPD, MPABD, kontraktor perkhidmatan lif yang berdaftar di bawah ABCi, syarikat pengangkut, syarikat swasta yang terlibat dalam operasi mengangkat (sektor pembinaan, minyak dan gas, automotif), pemilik bangunan, wakil dari pasar raya dan kedai serbaneka serta pemeriksa bertauliah dan agensi pemeriksaan pihak ketiga yang berdaftar dengan SHENA.

    Program berkenaan juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan, kontraktor perkhidmatan lif, syarikat pengangkut, pemilik bangunan, dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan dalam mempromosikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

    Para pembentang jemputan yang hadir semasa program berlangsung di Auditorium Utama, Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk & Teknologi (D&T). – GAMBAR SERAHAN SHENA
    GAMBAR SERAHAN SHENA
    Antara yang hadir semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SHENA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda