Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shereen lebur rekod 30 tahun Rabia

    KUALA LUMPUR, 16 APRIL – Atlet olahraga Malaysia, Shereen Samson Vallabouy meleburkan rekod 400 meter (m) kebangsaan yang telah berusia 30 tahun apabila berjaya mencatatkan 51.80 saat (s) di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

    Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Hilmer Lodge itu, Shereen yang mewakili Winona State University di Minnesota, berjaya memperbaharui rekod milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam iaitu 52.56s yang dilakukan pada 1993, di Filipina.

    Menurut laman sesawang kejohanan itu, anak perempuan kepada pasangan bekas pelari trek negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary itu menamatkan saingan di kedudukan kelima di belakang Ziyah Holman dari University of Michigan yang menduduki tangga keempat dengan 51.60s.

    Pelari yang mewakili Texas A&M University, Jermaisha Arnold muncul sebagai juara dengan catatan 50.79s diikuti rakan sepasukannya, Tierra Robinson-Jones di tempat kedua (51.01s), manakala atlet University of South Carolina Jan’Taijah Jones di tempat ketiga (51.0s).

    Pada Mac tahun lalu, Shereen mula mencuri tumpuan apabila berjaya meleburkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan milik Noraseela Mohd Khalid (54.58s) yang dicipta pada 2006 dengan catatan masa 53.79s.

    Atlet berusia 25 tahun itu merupakan salah seorang wakil negara yang akan menggalas cabaran dalam temasya Sukan SEA Kemboja pada Mei ini bagi acara 400m dan 4x400m. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda