Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Shila luah emosi dalam konsert

    Kemunculan penyanyi, Shila Amzah pada Konsert Journey To The Future: Shila Amzah di Dewan Plenari. Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu membuktikan dirinya sudah melalui pelbagai episod jatuh bangun sebelum sampai ke tahap sekarang.

    Kehadiran Shila jelas ditagih peminat apabila masing-masing tidak keruan sebaik penyanyi yang pernah menempa nama di China itu tampil di pentas mendendangkan lagu pilihannya.

    Tidak membuat peminat menunggu terlalu lama, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, 33, memulakan detik bersejarah itu pada jam 8:30 malam dengan mendendangkan medley Dunia Baru, Yang Teristimewa dan Saat Bahagia.

    Segmen pertama itu ibarat pembuka selera paling lazat sehingga berjaya ‘menjerat’ perhatian kira-kira 2,000 penonton untuk kekal di kerusi.

    Sorakan demi sorakan diterima membuatkan penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu terus bersemangat meneruskan persembahan dengan beberapa lagu antaranya Raungan Suara, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Tiada Dirimu dan Jauh Hati.

    Shila tidak banyak mengambil masa untuk berceloteh, namun ungkapan dilafazkan cukup mendalam hingga boleh dikatakan Shila menebarkan segala isi hati kepada penonton.

    Walaupun anak kepada penyanyi dan pelakon era 1980an, ND Lala itu mengakui kebanyakan lagu yang dihasilkannya bersifat galau, ia tetap menjadi kegilaan ramai, malah sehingga kini lagu seperti Patah Seribu dan Memori Tercipta masih kekal menjadi siulan.

    Selain vokal mantap ditampilkan Shila pada konsert Journey To The Future: Shila Amzah, kemampuan wanita ini berdansa tidak boleh dipertikai.

    Apa tidaknya, Shila jelas berada dalam kelas tersendiri apabila gerak tari bertenaga yang disulami dengan lagu popular seperti Uptown Funk dendangan Mark Ronson dan Bruno Mars serta Butter (kumpulan BTS) berjaya mencuri perhatian penonton. – Agensi

    Sheila tidak banyak mengambil masa untuk berceloteh, namun ungkapan dilafazkan cukup mendalam hingga boleh dikatakan Shila menebarkan segala isi hati kepada penonton. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...