Demi komitmen terhadap kerjaya lakonan, pelakon Shweta Sekhon sanggup mengikut permintaan produksi agar menurunkan berat badan.
Wanita yang pernah meraih gelaran Miss World Malaysia 2016 dan Miss Universe Malaysia 2019 itu mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk mencipta nama sebagai pelakon.
Maka, tidak hairan Shweta sanggup mengikat perut sehingga berjaya menurunkan hampir enam kilogram (kg) semata-mata untuk menjayakan watak Dr Malini bagi filem adiwira bertaraf mega, Keluang Man.
Bagi Shweta, bukan mudah mendapatkan watak Dr Malini dan terpaksa turun naik beberapa kali pejabat produksi menjalani proses uji bakat.
“Saya perlu melalui sesi uji bakat berkali-kali dan prosesnya tak mudah.
“Apabila produksi ambil saya dan minta turunkan berat badan kerana nak rahang kelihatan, saya turuti kehendak kerana laluan saya bukan mudah untuk jadi Dr Malini.
“Sepanjang proses ini, saya memang menjaga pemakanan dengan ketat dan melakukan aktiviti kesihatan seperti gimnasium, yoga dan pilate.
“Dalam tempoh tiga bulan saya berjaya turunkan berat badan sehingga hampir 6kg, malah masih lagi menjaga makan sepanjang penggambaran,” kata Shweta yang ditemui di set penggambaran Keluang Man, baru-baru ini.
Apa yang menyeronokkan, wanita berusia 27 tahun itu berkata, bukan dirinya seorang perlu menjaga makan, malah pelakon lain turut menjaga badan menyebabkannya tidak rasa tertekan.
“Kami sudah seperti keluarga, semua orang dalam set ini memang jaga makan. Jadi, produksi tak perlu susah-susah sediakan makanan yang banyak,” katanya menurut laporan BH Online.
Dalam pada itu, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini berharap kemunculannya dalam filem arahan Anwari Ashraf itu akan membuka peluang yang lebih luas buatnya dalam filem Melayu. – Agensi