Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    SIA labur AS$800 juta ubah suai kabin

    SINGAPURA, 4 NOV – Singapore Airlines (SIA) mengumumkan hari ini bahawa syarikat tersebut akan melabur lebih AS$800 juta untuk mengubahsuai kabin pesawat jarak jauh Airbus A350-900, berikutan persaingan sengit dalam industri penerbangan.

    Menurut kenyataan SIA, inisiatif itu akan melibatkan pembaharuan semua kelas kabin di 41 pesawat jarak jauh dan jarak ultra jauh (ULR) A350-900, dengan kos Sg$1.1 bilion (AS$835 juta). Buat pertama kali, SIA akan memperkenalkan kabin kelas pertama yang mewah dalam tujuh pesawat A350-900 ULR, bertujuan ‘menetapkan penanda aras baharu dalam perjalanan jarak jauh terpanjang di dunia.’

    Tindakan tersebut diambil ketika syarikat penerbangan dari Teluk, seperti Qatar Airways dan Emirates, memberikan saingan sengit kepada SIA dalam kelas perniagaan dan kelas pertama, yang mana mereka kini berjaya menyaingi malah melebihi standard yang ditetapkan oleh SIA.

    Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong, berkata, “Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, kami telah secara intensif melibatkan pelanggan dan pihak berkepentingan dalam reka bentuk produk kabin jarak jauh generasi seterusnya, menjangkakan pilihan mereka yang sentiasa berubah dan harapan sehingga ke setiap butiran kecil.”

    Kabin kelas premium ekonomi dan ekonomi juga akan diberi pembaharuan.

    Pengasas perundingan penerbangan Endau Analytics yang berpangkalan di Singapura, Shukor Yusof, berkata pelaburan itu bertujuan untuk mengekalkan keunggulan SIA dalam industri.

    Pesawat pertama yang telah diperbaharui dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2026 dan keseluruhan program pe-ngubahsuaian itu dijangka siap menjelang 2030. – AFP

    Gambar fail menunjukkan SIA A350-900 mendarat di lapangan terbang Antarabangsa Changi Singapura. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda