Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Tinggal dua minggu lagi tahun 2022 akan melabuhkan tirainya dan sudah pasti golongan yang paling sibuk adalah ibu bapa dalam misi untuk mempersiapkan barangan sekolah anak-anak mereka yang bakal meneruskan sesi persekolahan tahun baharu pada awal Januari 2023.
Sebelum berlaku insiden terkejar-kejar dan bersesak-sesak dalam kedai-kedai mencari buku, beg mahupun pakaian seragam anak-anak termasuk kasut, tudung, songkok dan yang seumpamanya, terdapat juga sebilangan ibu bapa yang sudah sedia membeli lebih awal kelengkapan persekolahan anak mereka.
Antaranya, Dayang Asmayatim binti Haji Metussin semasa ditemu bual mengongsikan beliau telah melakukan beberapa persiapan awal bagi anaknya yang akan memulakan pembelajaran di peringkat menengah pada tahun hadapan.
“Alhamdulillah sebahagian besar peralatan dan keperluan seperti buku-buku latihan dan alat-alat tulis kelengkapan lainnya yang lazimnya diperlukan bagi anak saya sudah disediakan lebih awal.
“Walau bagaimanapun beberapa barangan yang masih dapat digunakan tidak perlu lagi dibeli bagi memastikan tiada pembaziran berlaku.
“Memandangkan anak saya baru memasuki sekolah menengah, maka kami perlu menyediakan pakaian seragam yang baharu. InsyaAllah kami akan menempahnya dalam masa yang terdekat ini,” jelas Dayang Asmayatim lagi.
Sementara itu seorang lagi ibu yang ditemui, Wan Zainab Ariff binti Mohd Zain Ariff turut mengongsikan persiapan bagi anaknya yang menuntut di Sekolah Rendah Mentiri.
“Segala buku-buku yang akan digunakan oleh anak saya pada tahun hadapan telah dipersiapkan lebih awal memandangkan pihak sekolah anak saya telah memberikan senarai buku-buku yang diperlukan.
“Jadi mudah bagi kami untuk mencari buku-buku tersebut lebih awal sebelum ia kehabisan stok di kedai-kedai buku. Kerana kelazimannya jika kami lambat membuat pembelian maka akan menjadi sulit untuk mendapatkannya memandangkan stok buku yang terhad.
“Pakaian seragam sekolah pula, Alhamdulillah tidak banyak yang perlu dibeli memandangkan anak saya masih bersekolah di sekolah sama dan ukuran badannya tidak jauh berbeza dari tahun ini.
“Mungkin kami akan membeli satu atau dua pasang lagi sebagai tambahan bagi pakaian seragam yang sedia ada. Diharap dengan adanya pakaian seragam dan peralatan sekolah yang baharu dapat menyuntik semangat bagi anak kami belajar di tahun hadapan,“ jelas Wan Zainab Ariff lagi.
Di samping itu, beliau turut bersetuju dengan mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak.
Baginya tidaklah perlu untuk membeli segala kelengkapan yang baharu pada setiap tahun kerana jika masih lagi dapat dipakai sesuatu barangan tersebut eloklah ia digunakan dan menjimatkan wang untuk kegunaan yang lainnya.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa banyak persediaan kewangan diperlukan bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak termasuklah menyediakan perbelanjaan dalam pembayaran kelas tuisyen dan seumpamanya.
Oleh itu kebijaksanaan dalam mencongak kewangan adalah amat diperlukan bagi setiap orang tua dan ibu bapa, selain bijak menguruskan kewangan masing-masing dan tidak menghabiskan wang kepada benda-benda yang kurang berfaedah kerana boleh digunakan untuk sesuatu yang lebih bermanfaat di kemudian hari.