“Beritahu dia, tak perlu masuk campur.”
Itu reaksi Datuk Aaron Aziz mengulas ciapan dimuat naik pelakon, Sharnaaz Ahmad di Twitter, baru-baru ini, mendakwa mereka pelakon profesional dan tidak akan menarik diri daripada membintangi filem The Original Gangster (TOG) hanya disebabkan konflik.
“Kepada pelakon atau sesiapa sahaja yang tidak terbabit dengan produksi, jangan masuk campur,” katanya ditemui pada majlis pelancaran rasmi dan jualan promosi pembukaan Jakel Shah Alam.
Sebelum ini, pengarah filem terbabit, Syamsul Yusof mengumumkan isu masalah kesihatan iaitu slip disc dan kenaikan berat badan aktor kelahiran Singapura itu menjadi antara sebab Aaron terpaksa digugurkan daripada filem yang masih dalam pembikinan itu.
Bagaimanapun, Syamsul dilaporkan berkata, beliau adalah individu terakhir yang mahu menggugurkan Aaron daripada filem berkenaan.
Kontroversi itu mula diperkatakan apabila Aaron memuat naik hantaran video di Instagram (IG) mendakwa Syamsul enggan berjumpa berhubung isu digugurkan daripada membintangi filem TOG.
Aaron mendakwa sudah membuat persediaan termasuk dalam aspek fizikal bagi membintangi naskhah terbabit.
Aaron kekal dengan pendirian untuk tidak memberi maklum balas berhubung tawaran Syamsul untuk bersemuka menyelesaikan krisis yang timbul. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P18-C_06042023.jpg)