Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siapkan projek dalam masa ditetapkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kerajaan menaruh harapan yang besar agar semua projek siap dengan kualiti yang tinggi dan menepati tempoh masa serta peruntukan yang telah ditetapkan.

    Sehubungan itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin berpendapat bahawa ia memerlukan kecekapan serta kepakaran dalam pengurusan projek dan hampir kesemua projek-projek itu dilaksanakan oleh kontraktor pihak ketiga di mana kontraktor bertanggungjawab pada segala urusan projek dari awal sehingga selesai dengan syarat-syarat yang tertentu.

    Menurut Yang Berhormat semasa sesi permesyuaratan MMN di Bangunan Dewan Majlis pada hari ini, ia juga memerlukan kecekapan dalam bidang pengurusan kontraktor.

    Sehubungan itu, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty mempersoalkan jika pihak Kementerian Pembangunan mempunyai pakar-pakar yang berpengalaman serta mencukupi dalam kedua-dua bidang pengurusan projek dan pengurusan kontraktor.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty mencadangkan pihak Kementerian Pembangunan untuk meluangkan masa untuk melangkah ke belakang membuat penilaian contract studies yang lalu dan mengenal pasti strategi yang terbaik bagi setiap jenis projek bagi kegunaan projek-projek yang akan datang.

    Beliau juga mencadangkan agar kementerian memperkuatkan bidang-bidang pengurusan projek dan kontraktor dalam kalangan warga kementerian tersebut, serta memperkenalkan project delivery sebagai salah satu KPI Kementerian Pembangunan.

    Dalam menjawab persoalan tersebut, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid berkata bahawa kebanyakan pakar-pakar yang berpengalaman di dalam projek-projek pembinaan memperakui banyak risiko yang ditangani di dalam pelaksanaan projek.

    Antara risiko yang selalu dihadapi adalah projek yang tidak siap mengikut jadual, projek yang tidak dapat disiapkan oleh kontraktor, dan kontrak yang terpaksa diputuskan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda