Saturday, February 8, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sidang kemuncak ASEAN, AS pada 12-13 Mei ini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan Sidang Kemuncak Istimewa untuk meraikan empat setengah dekad Hubungan Dialog ASEAN-AS pada 12 dan 13 Mei nanti di Washington D.C, AS.

    Pengumuman sidang itu dibuat oleh Pengerusi ASEAN 2022, Kemboja dalam kenyataannya di mana ia merupakan sidang kemuncak istimewa kedua sejak 2016 dan pertemuan bersemuka pertama bagi pemimpin-pemimpin ASEAN sejak 2017.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa pemimpin-pemimpin ASEAN dan Presiden AS, Joe Biden akan bertemu untuk membincangkan cara dan kaedah untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk respons COVID dan sekuriti kesihatan global, perubahan iklim, pembangunan mampan, kerjasama maritim, pembangunan modal insan, pendidik dan hubungan warga ASEAN-AS serta juga kesalinghubungan dan penglibatan ekonomi.

    Para pemimpin, jelas kenyataan itu lagi, juga akan bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

    Semasa pertemuan bersejarah itu, pemimpin-pemimpin ASEAN dan AS akan melakar hala tuju masa hadapan hubungan ASEAN-AS dan berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama strategik bagi manfaat bersama penduduk ASEAN dan AS.

    Sidang kemuncak istimewa itu juga akan mengesahkan semula komitmen bersama untuk menegakkan Centrality ASEAN dan perpaduan menerusi mekanisme yang diterajui ASEAN yang sedia ada serta juga bagi memupuk keyakinan dan kepercayaan bersama untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda