Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sidang kemuncak ASEAN-EU buka ruang bincang isu perdagangan

    KUALA LUMPUR, 20 JULAI – Sidang Kemuncak ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium Disember ini akan memberi ruang kepada perbincangan yang lebih mendalam mengenai aktiviti perdagangan dan kewangan serta menangani isu perubahan iklim antara dua wilayah terbabit.

    Pesuruhjaya untuk Belanjawan dan Pentadbiran EU Johannes Hahn yang sedang mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bagi mempromosikan Next Generation EU (NGEU) Recovery Plan berkata sidang kemuncak itu adalah bersempena 45 tahun perkongsian dialog antara ASEAN dan EU.

    Sempena dengan sidang kemuncak itu rundingan dua hala intensif antara wakil EU dan Malaysia bakal diadakan.

    “Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Eropah adalah yang kedua terbesar di Malaysia, oleh itu sidang kemuncak ini memberi peluang besar kepada EU untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Kunjungan ke Malaysia sempena lawatannya ke empat negara ASEAN dan Kuala Lumpur menjadi destinasi kedua selepas Singapura.

    Beliau berkata hubungan antara ASEAN dan EU telah berkembang pesat sejak 45 tahun lalu terutamanya membabitkan sektor perdagangan dan politik, serta kedua-dua wilayah juga bersatu dalam menangani isu perubahan iklim.

    Hubungan EU dengan ASEAN telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada Disember 2020, serta EU turut mengiktiraf kepaksian ASEAN dalam Strategi EU untuk Jalinan Kerjasama di Indo-Pasifik pada 2021.

    Mengulas mengenai import minyak sawit EU dari Malaysia dan Indonesia, Hahn berkata beliau dimaklumkan bahawa mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) mengenai minyak sawit antara EU, Malaysia dan Indonesia yang diadakan baru-baru ini telah membuahkan hasil.

    “Pertama, kami tidak (mengenakan) larangan terhadap minyak sawit, kami adalah pengimport kedua terbesar minyak sawit, tiada perubahan dalam hal ini. Kami berpendapat bahawa kami perlu menggunakan sumber yang lebih mampan…ini adalah pendekatan kami,” katanya. – Bernama

    Johannes Hahn berkata Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Eropah adalah yang kedua terbesar di Malaysia, oleh itu sidang kemuncak ini memberi peluang besar kepada EU untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN.- Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...