MELBOURNE, 4 MAC – Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024 bermula hari ini, menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara (SEA) dan Australia, pemimpin perniagaan dan komuniti, golongan pakar dan ahli akademik untuk membincangkan bidang tumpuan utama, antaranya perniagaan; pemimpin baharu; iklim dan tenaga bersih dan kerjasama maritim.
Sidang kemuncak selama tiga hari itu berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), juga menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog Australia dengan ASEAN.
Australia menjadi Rakan Dialog ASEAN yang pertama pada tahun 1974, status rasmi yang diberikan kepada sebuah negara untuk mengeratkan hubungan dan Rakan Strategik Komprehensif ASEAN pada tahun 2021.
Ini adalah kali kedua Australia menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN selepas sidang kemuncak khas pertama yang diadakan pada Mac 2018. Timor-Leste akan menyertai sidang kemuncak tahun ini.
Menurut laman web Jabatan Perdana Menteri dan Kabinet Australia, para pemimpin akan membincangkan perkara mengenai memperkukuh kerjasama ASEAN-Australia, berkongsi visi untuk masa depan rantau ini dan bagaimana negara-negara berkenaan boleh bekerjasama untuk menangani cabaran bersama.
“Perbincangan akan tertumpu kepada Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia hingga 2040, pelan tindakan untuk meningkatkan hubungan ekonomi Australia dengan rantau ini yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada September tahun lepas.
“Akan ada beberapa siri mesyuarat dan acara untuk membincangkan cara untuk meningkatkan penglibatan ekonomi; menyokong peralihan tenaga bersih yang dipercepatkan; meningkatkan kerjasama maritim yang praktikal; dan menyokong tanaman semasa di rantau ini bagi pemimpin baharu,” katanya. – Bernama