Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Sidang Kemuncak Momentum Baiduri 2023 akan diadakan pada 8 Ogos ini, yang bakal menghimpunkan para bendahari dan pemimpin korporat kanan di mana topik pelaburan utama dan pandangan pasaran akan diterokai oleh panel pakar penceramah.
Bank Baiduri dalam kenyataan yang dikeluarkan, menjelaskan bahawa semasa sidang kemuncak perdana di The Empire Brunei itu, hala tuju dasar, kecerdasan buatan (AI), alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dan trend pelaburan akan dianalisis dan dibincangkan.
Penceramah utama pada sidang kemuncak itu ialah Dr Taimur Baig yang menjangkakan kenaikan kadar Federal Reserve akan dihentikan, meskipun penggubal dasar menyatakan sebaliknya pada mesyuarat pada bulan Julai.
Beliau berkata mesej utama Federal Reserve ialah kewaspadaan dasar akan berterusan walaupun cetakan inflasi menjadi menggalakkan. Dengan memikirkan bank pusat Amerika Syarikat akan mengekalkan syarat monetari terhad untuk tempoh yang berlarutan. Ini akan berlaku terutamanya kerana pengguna swasta dan pasaran buruh kekal dalam wilayah yang berkembang.
“Memeriksa aliran data mengenai aktiviti ekonomi, keyakinan pengguna dan perniagaan, pasaran buruh, dan keadaan pasaran kewangan, kami fikir Federal Reserve akan mendapat sokongan untuk tempoh tunggu dan lihat yang berpanjangan yang mungkin bertahan hingga pertengahan tahun depan,” tambahnya.
Ketua Pakar Ekonomi Bank DBS itu akan berkongsi lebih banyak pandangannya tentang prospek ekonomi dan pasaran global pada sidang kemuncak itu.
Kepakaran Dr Baig meliputi strategi makro dan pelaburan, serta pengurusan risiko. Beliau ialah Penasihat Kehormat kepada Global CFO Network, Felo Pengarah di Asian Financial Cooperation Association, dan ahli Majlis Persatuan Ekonomi Singapura.
Sebelum menyertai DBS pada 2017, Dr Baig adalah pakar ekonomi utama di Kumpulan Dasar Ekonomi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Di samping itu, Pakar Produk Kanan Asian Fixed Income of Allianz Global Investors, Alicia Tan; dan Ketua Bersama Ekuiti Asia dan Pengurus Portfolio Kanan Nikko AM, Yeu Huan Lai juga akan menyertai sidang kemuncak itu nanti.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P6-2WEB-Foto-hiasan-freepik_05082023.jpg)