Dituduh meminta-minta bantuan daripada kerajaan, pelakon Fizo Omar menegaskan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat fitnah tersebut.
Menurut Fizo, tuduhan yang dilemparkan itu berniat jahat dan telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga.
“Berhubung isu selebriti minta bantuan dari kerajaan, ingin saya tegaskan tak pernah minta bantuan kewangan dari kerajaan atau mana-mana pihak seperti didakwa di media sosial.
“Ini adalah satu fitnah besar terhadap saya, jadi saya tak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang sewajarnya.
“Jika perkara ini berlarutan termasuklah komen kata-kata kesat di media sosial yang boleh menjatuhkan maruah saya dan nama baik saya serta keluarga,” katanya. Fizo membuat penjelasan tersebut menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya semalam.
Sebelum itu, tindakan Fizo meninggalkan komen pada video pelakon sensasi Zarina Anjolie mengundang kecaman warganet. Berang dengan komen tersebut, Zarina memuat naik satu lagi rakaman video yang ditujukan kepada Fizo Omar.
Rata-rata pengikut menyokong tindakan Zarina menegur semula pelakon drama Maaf Tak Seindah Itu.
Sementara itu, Fizo berkata apa yang berlaku sebelum ini hanyalah salah faham dan meminta mana-mana pihak yang membuat fitnah menarik balik kenyataan mereka. – Agensi