Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Simpang kosong

    Oleh Masnoah AB –

    Kisah ini menjadi pengajaran buatku sebagai memperbaiki kesilapan yang pernah ku lakukan beberapa tahun lalu tentang sikap dustaku terhadap ibu. Sejak tahun 80an lampau….masa itu usiaku masih muda remaja sekitar 15 tahun. Waktu itu perangaiku memang nakal terikut-ikut gadis-gadis remaja yang samseng, ada ala tomboy, rock n roll dan macam-macam lagilah tabiat mereka yang kurang baik itu memukau perasaanku seperti orang kerasukan adanya.

    Berikut tentang peristiwa lalu itu bagaikan sebuah gambaran tragis dalam meniti kehidupan paling menakutkan didunia ini, gara-gara aku dan rakan-rakan samseng itu membuat ulah tak tentu pasal. Mereka cuba menunjukku agar menggunakan kenderaan kepunyaan kakakku, yang ketika itu sedang menuntut di United Kingdom. Cuma tinggal dua bulan lagi pengajiannya akan tamat.

    Pada masa itu aku pujuk ibu agar membenarkan aku untuk mencuba kereta milik kakak. Rakan samseng pun buat hal depan ibu membenarkan kami merayau-rayau untuk seketika waktu. Mereka kata akan menolong orang yang didalam kesusahan. Aku turut terlibat membuat pembohongan dibelakang ibu. Entah?…gerangan apakah yang merasuk batinku ketika itu?.

    Aku sendiri belum matang untuk berfikir, akan tetapi terpaksalah ikut sedap hati. Maka aku pun mencapai kunci kereta yang masih baru segar bugar itu serta memandunya ke lopak kotor. Masa itu hari raya keenam, apa lagi kami pun ke Bandar Tutong semata-mata untuk menziarahi seorang teman yang kebetulannya tinggal Kampung Ukong. Kami pun mencari-cari jalan berpandukan alamat yang pernah diberikan.

    Masa itu kami keluar rumah pada jam 4 petang dan sampai ke Ukong pada jam 6:30 petang iaitu masuk waktu Maghrib. Tidak ramai yang datang ke kampung itu. Keadaan hari kian gelap kami masuk ke kampung itu tidak terdapat simpang seperti yang dinyatakan di dalam alamat tersebut. Ada pula simpang satu tapi ganjil juga aku rasakan, cuma rakan-rakan pula menunjuk untuk masuk. Entah kenapa ketika itu aku tidak terfikir langsung mengenainya padahal simpang itu adalah simpang yang kosong dan kami tidak tahu tentang pokok pangkalnya. Kami hanya mencuba nasib sahaja. Aku pun membelok ke simpang itu namun masih juga hampa.

    Gambar Freepik

    Simpang kosong itu hanya dikelilingi pokok-pokok ru yang tinggi menjulang, sebuah rumah pun tidak kelihatan. Keadaan di sana terlalu gelap pekat, oleh kerana kami sunyi saja malam itu, aku pun memasang kaset nyanyian rock yang menjadi kegilaan kami, maka berdendanglah sebuah kereta baharu. Apalagi rakan-rakan samseng pun buka mulut mengalun iramanya bagi memecah kesunyian malam. Tanpa disangka kereta kereta masuk ke dalam lumpur terlalu dalam. Aku tidak dapat membebaskan tayar kereta itu kecuali jika ada papan hendak dijadikan lapik. Kereta kami pun menahan dalam simpang itu yang penuh dengan peristiwa seram. Apabila kami keluar, salah seorang rakanku bersiul-siul keseronokan dan yang lain pula menyanyi-nyanyi sendirian.

    “Hei sudahlah bersiul tu….nanti ada pula hantu datang melamar kau”, gurau Atikah pada Samsul. Berderai ketawa kami bertiga.

    “Ah gila….hantu apa pula nak kahwin denganku malam-malam buta ini… hantu tu semuanya perempuan. Kitani pun perempuan juga seloroh Samsul pula dengan suara yang besar. “Bah sudah tah jangan bising lagi…surung tah kereta ani kuat-kuat sikit”, kataku.

    Enjin kereta itu telah pun berdesing bertalu-talu bunyinya. Namun tayar itu pula masih serak-serak kebasahan dalam lumpur tanah becak. Lumpur itu berbau yang amat sangat hingga terpalit ke pakaian baru rakan-rakanku. Bah kata pepatah bagaikan kerbau membawa lumpur semuanya terpalit. Apalagi aku pun ketawalah dalam kereta seorang diri.

    Yang lainnya pasti marah dan merungut pasal pakaian mereka yang kotor itu. Em…kesiannya mereka, bisik hatiku sendiri. Setelah puas menolaknya, kami tidak terdaya lagi, maka kami pun terpaksa menunggu di situ.

    “Jomlah kita balik cepat nanti emakku marah”, pujuk Wati padaku. “Macam mana nak balik, kereta ni susah ditolak berat lagi benda ni lagipun tayar tu masih terkubur dalam lumpur, lumpur tu dalam juga.

    “Sabar saja, apa kata kita tunggu waktu siang mana tau ada orang kampung ni boleh menolong kita keluar dari sini nanti”, ujar Samsul cuba meredakan kerisauan Wati. “Aku takut jugalah”, kata Atikah pula. “Bah jangan tah disebut-sebut, karang macam-macam tiada”. Yang penting kita masuk dalam kereta, kunci pintu tu, jangan dibuka-buka nahas siapa keluar daripadanya”, komen Nordi pula. Dalam kereta itu kami tak senang duduk diam malah ada yang terasa bosan. Tidak kurang pula ada yang telah terlelap tidur. Kedua mataku mengantuk juga. Sedangkan mulut si Nordi yang didepanku masih terkumat-kamit menyanyi-nyanyi mengikut rentak irama barat. Mulanya aku sudah tertidur bersama dua orang rakan dibuai mimpi di malam hari, tiba-tiba si Nordi meneriak mengejutkan semua orang dengan rasa tersentak.

    Aku pun terbangun bersama yang lainnya. Melihat tragedi menyeramkan berada di depanku. Lembaga itu duduk memerhatikan kami depan kereta. la bukan saja lembaga tempatan malah lembaga buatan iblis laknatullah naunzubillahi minzalik. Pada mulanya lembaga tersebut menyerupai lelaki. la tak berpakaian malah tubuhnya cuma bersalutkan rambut komot yang panjang mencecah lutut. Rambut itu bersarangkan labah-labah yang kecil dan merayau-rayau di atas kepalanya. Kedua matanya besar dan merah saga bagaikan pandangan buaya yang lapar. Wajahnya sangat mengerikan, dari lubang pori-pori pipinya mengalirkan bertitisan nanah pekat kuning. mulutnya ternganga lebar bertitisan air liur laksana orang mengidap penyakit gila babi. Seluruh tubuh badannya berbulu-bulu kecil.

    Kedua telinganya panjang mencecah leher. Lembaga tersebut melompat-lompat kegilaan di atas kereta. Nasib baik kereta kakak yang ku pinjam itu tidak kemek kalau tindak nahaslah aku dimarahi mereka nanti. Kaki tangannya berkuku panjang dan berkulit hitam coklat, kulit ditangan itu nampak bekas kelar dan hakisan dari benda yang tajam. Bertitisan juga darah turun di sana sini.

    Rakan-rakanku melihatnya dengan mata yang terbeliak serta masing-masing menelan air liur ditekak sendiri. Walaupun tragedi itu tidak menakutkan namun ianya merupakan pengajaran bagi kami. Rupanya lembaga tadi bertembung dengan pontianak. Mereka bercakaran bagaikan orang yang sudah lama bermusuh. Pontianak itu cuba merobek pipi si lembaga pantas ia cepat mengelak seolah- olah mahu menghirup darahnya. Lembaga itu pun menjelirkan lidahnya dengan panjang kemudian mencekik leher pontianak hingga penggal dan mati lalu rebah. Sebaliknya si lembaga itu menerajang cermin depan kereta tersebut dengan kakinya. Seolah-olah kami ini mangsa kelaparan seterusnya. Apalagi masa itu tanganku terketar-ketar memusing stereo radio untuk mendengarkan bunyi azan. Itulah pertama kali aku teringat nama Allah Maha Suci, bahkan ia makin jahat dan makin ia kuat menerajang didepan kami.

    “Ya Allah! Tolonglah kami yang tidak terdaya ini”, pinta Atikah menadah doa kelangit. Yang lain pun ikut menadah doa. Lantas aku teliti jam tangan kini telah menunjukkan pukul 5 pagi tapi setakat seminit lagi azan akan menjelma. Akupun membesarkan bunyi radio tersebut agar lembaga itu lari setelah mendengar azan di laungkan nanti. Apabila azan mulai berkumandang, Alhamdulillah lembaga itu meraung kesakitan hancur berkecai di atas kereta itu.

    “Syukur Alhamdulillah”, bisik hatiku sendiri.

    Keesokan harinya orang kampung itu pun menolong kami menarik kereta dari lumpur. Sesampai aku dirumah….ibuku marah kerana mengotori kereta kakak. Aku pun membawanya ke bengkel untuk diperiksa serta dibaiki dan mencucinya hingga bersih. Dari situ aku mengubah segala-galanya membuang sikap burukku yang lalu begitu juga pendapat rakan-rakanku. Mereka telah insaf dan melalui jalan diredai Allah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...