Monday, October 14, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simposium bincang perkembangan perubatan pemulihan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Perubatan pemulihan merupakan masa depan penjagaan kesihatan di mana ia bukan sahaja menumpukan kepada rawatan tubuh badan tetapi membawa kepada transformasi kehidupan.

    Di samping itu, ia juga merupakan nadi kepada penjagaan holistik di mana ia bukan sahaja melihat kepada diagnosis dan rawatan tetapi menghubungkan antara kelangsungan hidup dan kualiti kehidupan sekali gus memastikan pesakit bukan sahaja terus hidup tetapi hidup dengan baik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Jabatan Pemulihan dan Konsultan Perubahan Pemulihan, Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Dr Abang Haji Muhd Fahmy bin Abang Haji Hepnie dalam ucapan alu-aluannya di Simposium Perubatan Pemulihan Brunei yang berlangsung di Dewan Kuliah PJSC, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di simposium berkenaan ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.

    Dalam ucapannya, Dr Abang Haji Muhd Fahmy menyatakan bahawa perubatan pemulihan merupakan pertemuan antara inovasi dan sains, iaitu bidang penjagaan kesihatan yang pesat membangun serta menyaksikan inovasi dalam perubatan seperti perkembangan robotik dan kecerdasan buatan.

    Dr Abang Haji Muhd Fahmy ketika menyampaikan ucapannya. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Sesi bergambar ramai Dr Haji Mazrul Adimin bersama Dr Abang Haji Muhd Fahmy dan para penceramah. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL

    Selain itu, ia juga sesuatu yang kos efektif di mana setiap pelaburan dalam pemulihan akan membawa kepada penjimatan dengan mengurangkan kebergantungan kepada sokongan sosial dan perkhidmatan penjagaan kesihatan jangka panjang.

    Untuk mengembangkan bidang perubatan pemulihan yang komprehensif dan menyeluruh di Negara Brunei Darussalam, Dr Abang Haji Muhd Fahmy menjelaskan ia memerlukan komitmen serta bakat baharu di mana generasi penerus berkenaan merupakan kunci dalam memastikan perkhidmatan pemulihan negara terus berkembang kukuh serta dapat diakses oleh semua yang memerlukannya.

    Dalam hubungan itu, beliau menggalakkan semua pelajar dan profesional muda yang hadir untuk mendapat inspirasi daripada pelajaran yang dikongsi semasa simposium itu. Beliau berkata bahawa masa depan perubatan pemulihan Brunei bergantung kepada semangat dan dedikasi mereka terhadap penjagaan pesakit.

    Simposium mengetengahkan pembentangan dan perbincangan daripada pakar-pakar dalam bidang perubatan pemulihan Asia Tenggara khususnya berkaitan dengan perkembangan terkini dalam penjagaan pemulihan.

    Simposium itu juga menandakan mercu tanda yang signifikan bagi Brunei Darussalam yang ingin meningkatkan peranannya dalam kolaborasi penjagaan kesihatan serantau.

    Simposium yang bermatlamat untuk melengkapkan doktor, jururawat, profesional perubatan bersekutu dan pelajar perubatan dengan ilmu pengetahuan terkini dalam bidang perubatan pemulihan itu dihasratkan untuk meningkatkan kepakaran perubatan, memupuk perkembangan berterusan dalam bidang berkenaan serta memberikan inspirasi kepada generasi profesional perubatan akan datang bagi menceburi bidang kerjaya dalam perubatan pemulihan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda