Wednesday, May 8, 2024
30.5 C
Brunei

    -

    Simposium tekan usaha pelbagai ekonomi negara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Dengan mengetengahkan tema, Ke Arah Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi merasmikan Minggu Ekonomi, sempena Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun (MYCE) Brunei 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir pada pelancaran dan simposium Minggu Ekonomi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Setiausaha Tetap (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dalam kata alu-aluannya menyatakan Minggu Ekonomi memberi peluang untuk mengimbas pencapaian ke arah mencapai matlamat tiga, Wawasan Brunei 2035 dan meningkatkan pemahaman mengenai ekonomi Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga dihasratkan menjadi platform untuk mendalami ilmu pengetahuan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global masa ini.

    Dalam ucapan khasnya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menekankan perkembangan Brunei sejak beberapa tahun dalam memacu ekonomi ke arah mencapai matlamat ketiga, Wawasan Brunei 2035.

    TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi semasa menyampaikan ucaptama pada pelancaran dan simposium Minggu Ekonomi, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Beliau turut menekankan pentingnya untuk meneruskan usaha dalam mempelbagaikan ekonomi, berpandukan Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam.

    Simposium itu menyaksikan pembentangan ucaptama oleh dua penceramah antarabangsa iaitu pengasas, Ketua Pelabur Bersama, Pegawai dan ahli Lembaga Bridgewater, Bridgewater Associates, LP, Ray Dalio, yang menyampaikan tajuk, Implikasi Perubahan Peraturan Dunia, dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi, menyampaikan isu Global and Regional Outlook: Megatrends to Look Out For.

    Simposium turut menyaksikan perbincangan yang mengetengahkan ahli-ahli panel iaitu Setiausaha Tetap (Wawasan, Kewangan dan Kabinet), JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad; Dr Hajah May Fa’ezah; Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Pengarah Urusan, Brunei Darussalam Central Bank, Hajah Rokiah binti Haji Badar; dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar.

    Dalam sesi perbincangan itu, ahli pa-nel menjelaskan mengenai penilaian dan pengemaskinian pendekatan dasar ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf turut mengadakan lawatan ke Pameran Minggu Ekonomi yang menampilkan sektor-sektor dan pemain industri utama termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-sya-rikat pelaburan langsung asing (FDI).

    Pameran turut mengetengahkan jenama dan produk tempatan melalui inisiatif Darussalam Enterprise (DARe) iaitu Buatan Brunei di mana ia memberikan gambaran mengenai jenama dan produk-produk daripada usahawan tempatan Brunei.

    Selain itu, DARe juga memberi sokongan perniagaan dan khidmat nasihat serta berkongsi mengenai peluang bagi PMKS untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui pelbagai inisiatif DARe.

    Minggu Ekonomi, yang dihoskan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 2 Julai.

    Minggu Ekonomi menumpukan kepada topik-topik berkaitan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, iaitu keluaran dalam negara kasar (KDNK), cara-cara menggalakkan pertumbuhan, pem-bangunan PMKS dan mempromosikan perdagangan melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA).

    Minggu Ekonomi bermatlamat untuk meningkatkan pemahaman mengenai ekonomi Brunei dan penyumbang-penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta prospek ekonomi dunia dan serantau.

    Ia juga memberi peluang kepada orang ramai, khususnya usahawan baharu untuk meluaskan pengetahuan dan kesedaran mengenai penubuhan dan pembangunan perniagaan melalui bengkel-bengkel yang diadakan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...