Saturday, February 15, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindiket edar dadah guna peket minuman segera tumpas

    JOHOR BAHRU, 14 FEB – Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peket minuman segera selepas menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM3.2 juta dalam satu operasi khas pada 6 dan 7 Februari lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata dua warga tempatan berusia 41 dan 48 tahun serta seorang warga Singapura berusia 47 tahun yang dipercayai ahli sindiket itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru Selatan.

    Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan tujuh serbuan berasingan di sekitar bandar raya Johor Bahru termasuk sebuah rumah teres dan tiga buah kondominium yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah.

    “Dadah yang dirampas melibatkan 15 kilogram (kg) serbuk ekstasi, satu kg ketamin, 1.35 kg syabu, 294 gram ganja, 7,800 biji pil ekstasi dan 6,250 bijil pil erimin 5.

    “Modus operandi sindiket beroperasi sejak Januari lepas ini adalah menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan. Dipercayai bekalan diperoleh dari Kuala Lumpur sebelum dibungkus dan diedar untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.

     Beliau dalam pada itu berkata sindiket berkenaan menggunakan peket minuman segera yang antaranya berperisa kopi dan coklat sebagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa serta menjualnya sehingga RM250 bagi sepeket dadah.

    Justeru, beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain dan kemungkinan sindiket itu turut mempunyai dalang di luar negara.

    Beliau menyatakan tiga buah kereta, sebuah motosikal, 14 utas jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM65,670, wang tunai RM1,491 dan Dolar Singapura SG$117 turut disita dalam operasi itu.

    Sementara itu, beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Tambah beliau, kesemua lelaki itu direman sehingga 17 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

    Datuk M Kumar menunjukkan dadah yang dibungkus menggunakan peket minuman segera yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda