Monday, March 17, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindiket pemalsuan dokumen tumpas

    PUTRAJAYA, 2 OKT – Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Indonesia yang aktif di sekitar Lembah Klang, menyaksikan penahanan 33 rakyat negara itu dalam lima serbuan di Klang, Selangor dan Chow Kit, Kuala Lumpur semalam.

    Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Mohamad Fauzi Md Isa berkata antara warga Indonesia yang ditahan termasuk tiga lelaki dalang sindiket berumur lingkungan 38 hingga 41 tahun, seorang lelaki yang berperanan sebagai ‘runner’ berumur 25 tahun dan dua kanak-kanak lelaki berumur dua tahun.

    “Sindiket ini membuat pelbagai dokumen palsu dan cop-cop Imigresen Malaysia palsu. Pelanggan mereka merupakan warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata sindiket itu membuat iklan melalui risalah serta orang tengah untuk mendapatkan pelanggan dan dianggarkan seramai 500 warga Indonesia telah mendapatkan perkhidmatan mereka sejak beroperasi dalam tempoh setahun.

    Mohamad Fauzi berkata sindiket itu mengenakan caj perkhidmatan antara RM100 dan RM1,500 bergantung kepada jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

    Antara barang yang dirampas ialah 18 unit cop masuk Imigresen Malaysia, 20 unit cop Keluar Imigresen Malaysia, lima unit cop Pas Khas palsu, lima keping Cetakan Pas Khas Imigresen palsu, 62 unit Pelbagai Cop Keluar/Masuk dari negara Indonesia, China, Singapura dan Thailand, 33 pasport Indonesia, 23 Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP), 36 Surat Keputusan COVID-19 palsu dan dua keping surat Kementerian Kesihatan Malaysia palsu. – Bernama

    Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Mohamad Fauzi Md Isa (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media mengenai tangkapan sindiket pemalsuan dokumen penyeludupan migran di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, kelmarin. 
Turut kelihatan, Pengarah Bahagian Operasi Siasatan dan Pendakwaan Mohd Jasmi Mohd Juwahir (kiri) dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Siasatan dan Pendakwaan Mohd Syukri Hafidz Abdul Latif (kanan). – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda