Saturday, May 18, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Sindiket tipu pelaburan di TikTok tumpas

    KUALA LUMPUR, 3 MEI – Sindiket penipuan pelaburan yang aktif melalui aplikasi TikTok bagi menjerat mangsa, tumpas apabila polis menahan lapan individu termasuk dua wanita di dua premis dalam satu serbuan di Petaling Jaya, Selangor pada 25 April lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka yang ditahan berumur lingkungan 21 hingga 43 tahun.

    Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai barang antaranya tujuh komputer riba, 11 telefon bimbit, sejumlah wang palsu mata wang AS Dollar serta 10 replika jongkong emas.

    “Hasil siasatan mendapati sindiket disyaki menjalankan kegiatan penipuan pelaburan secara dalam talian dengan menyasarkan warga tempatan. 

    “Premis terbabit telah dijadikan sebagai pusat khidmat pelanggan selain turut digunakan sebagai pusat pengiklanan dan promosi pelaburan menggunakan aplikasi TikTok,” katanya dalam Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ di sini hari ini. 

    Beliau berkata suspek yang ditahan berperanan selaku pengarah syarikat, pengurus, moderator, tenaga pengajar, penyunting dan ‘host live TikTok’.

    Beliau berkata sindiket mempromosikan urus niaga pasaran saham yang didakwa beroperasi di Hong Kong dan pelabur yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram.

    “Mereka diajar untuk melakukan urus niaga jual beli saham berkenaan melalui laman web yang diberikan oleh pihak sindiket.

    “Pihak polis percaya kegiatan ini telah aktif sejak Ogos tahun lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan gambar-gambar ahli sindiket ketika Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ, Kuala Lumpur kelmarin.– Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...