Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura labur S$60 juta dalam R&D teknologi angkasa lepas

    SINGAPURA, 26 FEB – Singapura akan melabur sebanyak S$60 juta (S$1=RM3.30) dalam tempoh dua tahun akan datang untuk terus memangkin penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi angkasa lepas serta menyokong usaha seterusnya untuk penerapannya.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong berkata ini adalah tambahan kepada dana S$150 juta untuk Program Pembangunan Teknologi Angkasa (STDP).

    “Kami berharap ini juga akan memudahkan perkongsian antara syarikat dengan institusi penyelidikan kami dan seterusnya mendorong inovasi dalam sektor angkasa lepas Singapura,” katanya pada Konvensyen & Pameran Teknologi Angkasa Global 2025, hari ini.

    Beliau berkata sejak pelancaran STDP pada 2022 untuk menyokong projek dalam teknologi angkasa lepas, sebanyak 14 paten teknologi berkaitan angkasa telah difailkan setakat ini oleh entiti di Singapura.

    Gan turut mengumumkan pelancaran Inisiatif Pemerhatian Bumi (EOI) Singapura, yang akan menyokong pembangunan penyelesaian untuk menangani cabaran berkaitan kemampanan dan kemanusiaan di rantau Asia-Pasifik melalui penggunaan data pemerhatian bumi.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Pejabat Teknologi Angkasa dan Industri Singapura (OSTIn) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA).

    Kerjasama itu akan menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi angkasa lepas, seperti perkongsian data satelit dan projek penyelidikan bersama.

    Selain UNOOSA, EOI juga akan melibatkan rakan kongsi antarabangsa lain seperti Bank Dunia, Forum Ekonomi Dunia dan Sekretariat Suruhanjaya Sungai Mekong. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda