Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Singapura utus ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Baharu

    SINGAPURA, 31 JAN – Pemimpin Singapura mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.

    Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong masing-masing mengutus surat tahniah kepada Sultan Ibrahim hari ini.

    Teks surat itu disediakan kepada media oleh Kementerian Luar Negeri republik itu.

    “Dedikasi Tuanku terhadap kebajikan dan kemakmuran rakyat sudah diketahui umum. Saya yakin di bawah nasihat dan bimbingan Tuanku, Malaysia akan dibawa ke tahap yang lebih tinggi lagi,” kata Tharman.

    Menurut Tharman, Singapura dan Malaysia berkongsi persahabatan rapat yang dijalin atas hubungan kukuh rakyat dengan rakyat, selain kerjasama erat antara kerajaan dan hubungan perniagaan yang telah lama terjalin.

    “Saya berharap dapat bekerjasama dengan Tuanku bagi memastikan ikatan ini terus berkembang, demi manfaat bersama kedua-dua rakyat kita,” kata Tharman.

    Presiden itu juga menyampaikan jemputan kepada Sultan Ibrahim untuk membuat Lawatan Negara ke Singapura seawal mungkin.

    “Saya dan isteri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah untuk kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan. Kami berharap dapat berjumpa dengan Tuanku tidak lama lagi,” kata Tharman. – Bernama

    Shanmugaratnam (tengah) semasa menghadiri majlis perasmian presiden di istana presiden negara, di Singapura, pada 14 September 2023. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...