Thursday, April 17, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siput ganti daging merah, pilihan rakyat Tunisia

    AKODA – Di kawasan di tengah Tunisia, semakin ramai anak muda yang menganggur mula mencari alternatif baharu untuk mencari rezeki dengan mengutip siput dari batu dan daun, lalu mengumpulkannya dalam beg plastik besar untuk dijual ke pasar tempatan.

    Permintaan terhadap haiwan bercangkerang itu semakin meningkat apabila harga bahan makanan asasi semakin meningkat dan sukar dipenuhi oleh kebanyakan keluarga.

    “Siput menguntungkan, berkhasiat dan sangat laris,” kata Karim, 29, penjual siput dari perkampungan Akouda.

    Kajian yang diterbitkan tahun lalu dalam jurnal Archaeological and Anthropological Sciences menunjukkan masyarakat Tunisia telah memakan siput sejak lebih tujuh milenia lalu. Kini, ketika siput dianggap sebagai hidangan mewah di bistro, ia kembali mendapat tempat dalam kalangan penduduk sebagai alternatif praktikal kepada sumber protein daging merah yang tinggi dan sesuai dimasak bersama garam, rempah dan ramuan berperisa kuat.

    Bagi sesetengah rakyat Tunisia, siput kini menjadi penyelamat ketika kadar pengangguran belia melebihi 40 peratus dan inflasi kekal tinggi tiga tahun selepas mencatat paras tertinggi dalam dekad. Kekurangan peluang pekerjaan turut memburukkan ketidakpuasan sosial dan mencetuskan gelombang penghij-rahan ke Eropah.

    Seorang petani mengutip siput untuk dijual kepada pelanggan di kawasan pergunungan berhampiran Sousse, Tunisia. – AP
    Seorang wanita Tunisia menikmati hidangan siput semasa berbuka puasa di Sfax, Tunisia, 29 Mac. – AP
    Siput dimasak dalam hidangan berkuah untuk sebuah keluarga di Sfax, Tunisia. – AP
    Hidangan siput disajikan dalam bentuk masakan kuah untuk sebuah keluarga pada 29 Mac. – AP
    Gambar AP
    Seorang wanita Tunisia menyediakan hidangan siput untuk berbuka puasa di Tunisia. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Rendah lemak dan kaya dengan zat besi, kalsium serta magnesium, siput bukan sahaja memberi nilai pemakanan malah menawarkan pertumbuhan ekonomi. Di negara dengan gaji yang rendah, harga siput hanya separuh daripada harga daging lembu setiap kilogram, malah lebih murah jika dijual mengikut mangkuk.

    “Siput lebih baik dimasak berbanding daging kambing. Jika daging kambing berharga 60 dinar (AS$19.30), semangkuk siput hanya lima dinar (AS$1.60),” kata seorang lelaki bernama Mohammed di pasar Akouda.

    Ketika harga daging dan ayam terus melonjak, lebih ramai rakyat Tunisia memilih sumber protein alternatif yang mampu milik.

    Selain faktor ekonomi, makanan ini juga mendapat perhatian kerana manfaat alam sekitar. Saintis mengatakan siput menghasilkan pelepasan karbon jauh lebih rendah dan tidak mengakibatkan penebangan hutan seperti penternakan tradisional.

    Wahiba Dridi, yang menyajikan siput di restorannya di Tunis, memasaknya secara tradisional bersama lada dan rempah.

    Katanya, hidangan itu mendapat sambutan sepanjang bulan Ramadan lalu yang baru sahaja berlalu.

    Walaupun kebiasaannya daging merah menjadi pilihan utama bagi umat Islam Tunisia ketika berbuka puasa, harga siput sekitar 28 dinar sekilogram jauh lebih murah berbanding daging lembu yang mencecah 55 dinar.

    Tambahnya lagi, “Kalau orang tahu nilai sebenar siput, mereka pasti akan memakannya sepanjang tahun.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda