Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siri KABSBM labuhkan tirai

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan DBP Brunei

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melabuhkan tirainya hari ini dengan pembentangan terakhir yang mengupas tajuk ‘Institusi Agama dalam Perkembangan Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu di Negara Brunei Darussalam’.

    Topik berkenaan dibentangkan oleh pemakalah tempatan, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    Siri pembentangan kali ke-23 yang dikendalikan oleh Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP Brunei itu telah berlangsung secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom. Siri itu dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit.

    Antara yang dihuraikan adalah institusi agama dan Bahasa Melayu memainkan peranan dalam dua cara iaitu secara formal dan tidak formal.

    Secara formal, Bahasa Melayu diajarkan di semua institusi agama di Negara Brunei Darussalam dan merupakan subjek wajib lulus, manakala tulisan Jawi juga merupakan subjek teras.

    Antara menyertai pembentangan terakhir siri KABSBM yang disampaikan oleh Dr Haji Adanan secara maya dengan dipengerusikan oleh Haji Mohd Abdoh, kelmarin.
    Antara yang hadir secara maya bagi mendengarkan siri pembentangan terakhir berkenaan.

    Dalam pada itu, Bahasa Melayu juga disampaikan secara tidak formal melalui
    peraduan, ceramah, forum dan khutbah. Dalam aspek budaya pula, istilah budaya adalah penting untuk memberikan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam.

    Seramai 147 orang menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP Brunei, Hajah Sariani binti Haji Ishak; para pemakalah dari dalam dan luar negara; rakan-rakan strategik DBP Brunei; pegawai-pegawai kanan kerajaan; dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

    KABSBM diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Hajah Sariani selaku setiausaha
    KABSBM diikuti dengan ucapan penutup oleh Awang Suip. Beliau antara lainnya menyatakan bahawa penyampaian kongres melalui platform digital telah menjadi satu strategi yang berkesan bagi mendekatkan lagi masyarakat dengan ilmu bahasa, sastera dan budaya Melayu.

    Menurutnya lagi, KABSBM juga menjadi satu kegiatan penyebaran ilmu, yang mampu mengukuhkan lagi usaha ke arah pemartabatan Bahasa Melayu yang menjadi jentera kepada pembangunan tamadun bangsa.

    KABSBM telah dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac lalu dengan memuatkan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu dan antara lain bermatlamat untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda