Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sistem e-Undi PMKK terus diberiga

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 30 JAN – Sebagai inisiatif berterusan untuk memberigakan lagi pemahaman mengenai Sistem dan Aplikasi Mudah Alih E-Undi PMKK, terutamanya dalam kalangan ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Belait, taklimat me-ngenainya telah diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Sungai Liang, kelmarin.

    Taklimat berkenaan merupakan yang ketiga diadakan setelah taklimat serupa telah diadakan di Daerah Temburong dan Tutong.

    Hadir menyaksikan acara itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed, ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Mohamad Yassin menjelaskan bahawa majlis pengundian dan pemilihan bagi ketua Kampung Sungai Liang akan diadakan pada 13 Februari depan.

    Oleh itu, beliau menekankan kepentingan taklimat seumpamanya kerana ia membantu memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai sistem yang dilaksanakan, terutamanya penggunaan aplikasi e-undi berkenaan, yang secara rasmi dilancarkan pada 2 Oktober lalu.

    “Dengan penggunaan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK ini, penduduk kampung akan dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dan membuat undian bagi calon ketua kampung dengan lebih cepat dan efisien,” ujarnya. Pada acara itu, sesi taklimat mengenai Sistem dan Aplikasi Mudah Alih E-Undi PMKK telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Kuasa-Kuasa Tempatan dan Perpaduan (Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Jaimah binti Tuah.

    Dengan adanya sesi taklimat berkenaan, para penduduk kampung diharap akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tatacara alternatif tambahan dan seterusnya memanfaatkan keadah pengundian yang diperkenalkan ini untuk memilih calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung masing-masing yang telah dibukakan pengundiannya.

    Awang Mohamad Yassin ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada sesi taklimat berkenaan.
    Antara yang hadir mendengarkan sesi taklimat yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Sungai Liang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda