Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDARS ERI BEGAWAN, 2 JAN – Sajak bertajuk ‘Katani Warga Emas’ yang disampaikan oleh Dayang Siti Hazizah binti Haji Nurdin telah berjaya menarik perhatian para juri sekali gus dipilih sebagai juara Sayembara Puisi WARGAMAS yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.
Dengan markah 80 peratus, Dayang Siti Hazizah berjaya menewaskan sembilan peserta lain yang menyertai sayembara anjuran Pertubuhan WARGAMAS (PW) Negara Brunei Darussalam itu.
Tempat kedua telah dimenangi Haji Mohd Hussin bin Haji Mohd Salleh yang membawakan sajak ‘Ya Warga Emas’ diikuti oleh Haji Nor Amin bin Mohd Yassin di tempat ketiga dengan tajuk sajak ‘Janji Kita’.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Yang Dipertua PW, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don.
Antara lain tujuan sayembara dengan tema ‘Sayangi Warga Emas’ itu adalah untuk
mengetengahkan bakat ahli-ahli PW dalam mendeklamasi sajak seterusnya membina keterampilan dan jati diri bangsa.
Selain itu, ia juga memupuk minat dan kecintaan terhadap bahasa dan sastera Melayu khususnya puisi seperti sajak seterusnya mencetuskan idea bernas, kreatif dalam kalangan pendeklamasi di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli persatuan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan sajak oleh yang dipertua dan timbalan yang dipertua PW serta wakil Biro Warganita.





