Selepas berdepan pelbagai dugaan dan pertukaran pelakon, percaturan mengetengahkan pelakon baharu, Siti Khadijah Halim dan Aniq Suhair menerajui drama Sekali Lagi Cinta Kembali nyata tidak sia-sia.
Drama arahan Riza Baharudin mendapat banyak reaksi positif daripada penonton. Namun, tidak kurang juga kritikan diterima apabila ada mempertikaikan pelakon baharu menjayakan watak utama. Siti Khadijah yang mesra disapa Siti tidak melihat komen sebagai satu perkara negatif.
“Ada warganet mengatakan saya agak muda untuk diketengahkan sebagai heroin. Saya ambil sebagai satu pujian kerana membawa maksud saya nampak muda walaupun berusia 25 tahun.
“Harapan saya dapat menarik generasi muda kembali menonton drama tempatan. Ini kerana kebanyakan remaja sudah jarang menonton televisyen (TV).
“Daripada menonton drama K-Drama dan luar negara, lebih baik menyokong drama tempatan,” katanya kepada media.
Siti berkata, dia mencuba mendekatkan diri dengan peminat agar drama tempatan mendapat sokongan. Malah, katanya, tidak sukar mendekati diri dengan peminat memandangkan dirinya suka berbual.
“Saya memang suka bercakap, jadi tak susah untuk mendekati sesiapa. Bagi saya, nak pikat hati penonton kenalah bersikap ramah dan melayan mereka sebagai rakan.
“Peminat suka berinteraksi. Sebelum bergelar pelakon, saya sangat meminati penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar.
“Jadi, apabila mereka ‘like’ komen, itupun sudah cukup menggembirakan. Jadi, saya perlu melakukan perkara sama selepas bergelar pelakon,” katanya semasa ditemui wartawan secara maya.
Siti berkata, perwatakannya suka bercakap juga dekat dengan watak Aira dalam drama itu. Jadi, tidak sukar menghidupkan watak dengan baik.
“Karakter saya dan Aira tidak jauh berbeza. Disebabkan itu, ramai memuji lakonan saya kali ini, jauh berbeza dengan watak sebelum ini.”
“Ada masanya, saya menjayakan babak tanpa berpandu sepenuhnya kepada skrip.
“Alhamdulillah, saya melihat pengarah, Riza terhibur dengan dialog dilontarkan. Riza sukakan dialog yang spontan, jadi saya gembira dapat memberikan hasil kerja terbaik.” – Agensi