Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skandal 1MDB: Dua eksekutif disabitkan kesalahan di Switzerland

    GENEVA, 29 OGOS – Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam dan tujuh tahun atas kesalahan penyelewengan di Switzerland berkaitan dana kekayaan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland di Bellinzona kelmarin memutuskan bahawa mereka terlibat dalam penipuan terhadap dana 1MDB, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Tertuduh merupakan pengarah syarikat minyak PetroSaudi yang beroperasi di Geneva dan seorang rakan perniagaan. Seorang daripada mereka mempunyai dwikerakyatan Switzerland-Arab Saudi manakala seorang lagi memiliki dwikerakyatan Switzerland-British. Keputusan itu belum muktamad.

    Dana 1MDB pada asalnya bertujuan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi Malaysia, tetapi kira-kira 10 tahun lepas, penipuan bernilai berbilion dolar dalam dana kekayaan negara itu telah didedahkan.

    Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menganggarkan bahawa sebanyak AS$4.5 bilion telah dicuri daripada dana itu. Pada Jun lepas, jabatan itu berkata setakat ini mereka telah merampas AS$1.4 bilion daripada akaun yang terlibat dan mengembalikan dana terbabit kepada Malaysia.

    Menurut laporan dpa, Pejabat Peguam Negara Switzerland mendakwa bahawa tertuduh di Switzerland didakwa menyertai usaha sama dengan 1MDB atas alasan palsu dan dengan penglibatan seorang pelabur Malaysia, didakwa menyumbangkan aset yang sebenarnya tidak dimiliki mereka.

    Berpuluh juta dolar dari dana kekayaan negara itu akhirnya berakhir di tangan tertuduh ‘tanpa memenuhi tujuan usaha sama berkenaan’, menurut kenyataan dari Mahkamah Jenayah Persekutuan. – Bernama

    Gambar AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda