Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Skoliosis idiopatik remaja lebih banyak berlaku pada perempuan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Kajian yang dilaksanakan bagi skoliosis idiopatik remaja di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan bahawa terdapat kira-kira 47 kes baharu setiap 100,000 orang penduduk remaja dikenal pasti setiap tahun dan keadaan itu adalah hampir empat kali lebih biasa pada kanak-kanak perempuan berbanding lelaki.

    Mujurnya, kebanyakan pesakit tidak melaporkan sebarang simptom dan sebilangan besar daripada mereka tidak memerlukan pembedahan.

    Namun begitu, kita telah mendapati bahawa imej diri dan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan adalah lebih rendah dalam kalangan remaja yang menghidap skoliosis idiopatik yang tidak dirawat terutamanya bagi mereka yang mempunyai skoliosis sederhana dan teruk berbanding dengan mereka yang tidak terjejas.

    Oleh itu, penjagaan kepada aspek psikososial pesakit yang mempunyai skoliosis juga amat penting bagi kesejahteraan mereka, tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada perasmian Minggu Skoliosis 2024 yang berlangsung di Bangunan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Jerudong, hari ini.

    Manakala itu, sebilangan pesakit, terutamanya mereka yang mempunyai sudut Cobb lebih daripada 45 darjah biasanya menjalani pembedahan di mana sejak Mac 2019, sebanyak 85 kes skoliosis idiopatik telah berjaya menjalani pembedahan yang dilakukan di PJSC dengan pembetulan skoliosis yang optimum tanpa sebarang komplikasi kekal.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapan pada perasmian Minggu Skoliosis 2024 yang berlangsung di Bangunan PJSC, Jerudong, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham diberikan penerangan semasa mengadakan lawatan ke pameran yang diadakan semasa Minggu Skoliosis 2024, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bahawa secara purata pesakit tinggal tiga hingga empat hari selepas pembedahan dan ada juga yang pulang ke rumah seawal dua hari selepas pembedahan.

    “Selain itu, kepuasan pesakit dan ibu bapa terhadap pengurusan mereka adalah sangat baik.”

    Tambahnya, “Kesemua mereka telah kembali melakukan aktiviti penuh termasuk sukan, yang biasanya berlaku enam hingga 12 bulan selepas pembedahan.

    “Ini adalah bukti kerja baik yang boleh dicapai dengan pendekatan holistik berasaskan pasukan, pelbagai disiplin terhadap penjagaan pesakit.”

    Menyentuh mengenai Minggu Skoliosis berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa ia memberikan peluang kepada para peserta untuk bertukar-tukar idea, menjalin kolaborasi dan meningkatkan kefahaman kolektif mengenai pembedahan skoliosis.

    Beliau berkata bahawa mereka berpeluang untuk membina asas, meneroka teknik inovatif dan menghalusi lagi pendekatan mereka bagi menyediakan penyelesaian yang terbaik kepada pesakit mereka.

    Minggu Skoliosis 2024 memberikan tumpuan kepada memupuk kesedaran dan kefahaman terhadap skoliosis dalam masyarakat Brunei dan menyediakan pendidikan berterusan dalam kalangan pengamal klinikal.

    Semasa acara berkenaan, para peserta akan berpeluang untuk menghadiri bengkel spesimen anatomi dan mengenali peralatan dan kemahiran di perlukan di sebalik pembedahan skoliosis.

    Salah satu acara kemuncak ialah Bengkel Pembedahan Hidup (live-surgery workshop) di mana para peserta akan berpeluang untuk mempelajari dan berinteraksi dengan pakar bedah perunding daripada Dewan Pembedahan Hibrid PJSC yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang unik bagi profesional-profesional perubatan.

    Di samping itu, Hari Penglibatan Pesakit juga akan diadakan di mana ia dihasratkan untuk menghormati keteguhan dan kekuatan individu yang menghadapi skoliosis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...