Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Skuad Malaysia bakal bertembung Jepun

    PETALING JAYA, 14 FEB – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu jawapan berhubung perancangan mengadakan aksi persahabatan antara Malaysia dan pasukan nombor satu Asia, Jepun pada jendela perlawanan antarabangsa September depan.

    Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata dalam pada itu skuad Harimau Malaya yang akan beraksi dua perlawanan dalam tempoh itu, sudah hampir pasti akan menguji kekuatan menentang Hong Kong.

    Beliau berkata sebuah lagi pasukan belum dimuktamadkan dengan Jepun, yang juga juara Piala Asia terbanyak dengan rekod empat kali antara yang berada dalam senarai, selain Taiwan, China dan Uzbekistan.

    Sementara itu, Hamidin berkata pada jendela perlawanan antarabangsa paling hampir iaitu pada Mac ini, pasukan negara akan berlatih dan beraksi di gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dengan Turkmenistan sah sebagai salah satu lawan pasukan negara.

    Beliau berkata skuad bimbingan Pan Gon seterusnya akan bertemu antara Taiwan dan Kuwait, dengan perkara itu akan dimuktamadkan minggu ini.

    Dalam pada itu, mengenai penganjuran Pestabola Merdeka yang dijadual berlangsung pada Oktober, Hamidin berkata FAM sedang memuktamadkan dua lagi pasukan lawan antara India, Lubnan dan China, selepas Palestin sudah mengesahkan penyertaan mereka selain Malaysia selaku tuan rumah.

    Malaysia juga akan beraksi dua perlawanan masing-masing pada November dan Disember, sebelum menghadapi Piala Asia 2023 pada Januari 2024.

    Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan siapa lawan pasukan negara pada kedua-dua bulan tersebut.

    Hamidin berkata FAM akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung jadual perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya tahun ini, selewat-lewatnya awal minggu depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...