Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Madani perlu pengisian ikut konsep tempatan – Hajiji

    KOTA KINABALU, 14 FEB – Konsep Malaysia Madani sebagai satu acuan besar nasional, perlu diterjemah secara lebih spesifik dengan pengisian terbaik mengikut konteks tempatan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata gagasan membangun Malaysia Madani amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di Sabah, termasuk dalam landskap serta ekosistem tempatan negeri ini.

    “Kita mengakui bahawa konsep Malaysia Madani sememangnya sudah pun berciri menyeluruh dan inklusif. Namun begitu, kita perlu juga sedar bahawa Malaysia Madani adalah sebuah kerangka kebangsaan yang bersifat sejagat dan terbuka.

    “Justeru, adalah penting proses ‘localisation’, atau menterjemah gagasan besar kebangsaan kepada konteks tempatan secara lebih spesifik. Sebagai satu acuan besar nasional, Malaysia Madani perlukan pengisian terbaik yang lebih khusus sifatnya, mengikut konteks tempatan,” katanya berucap merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di sini hari ini.

    Ketua Menteri berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, selain aspirasi lokal yang masih belum mendapat tempat yang cukup kukuh dalam citra kebangsaan.

    “Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan yang unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani.

    “Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini, supaya hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi dengan ciri lokal.

    “Dalam bahasa mudah, kita perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani kepada landskap dan ekosistem negeri Sabah.

    “Saya percaya, dalam mewujudkan sebuah negara yang benar-benar Madani, proses itu haruslah dipacu oleh prinsip keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi serta budaya, yang memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan bersuara,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor (empat, kiri) menyempurnakan majlis perasmian Seminar Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...