Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    SLO kawal kemasukan alat elektrik tidak cekap tenaga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Kementerian Tenaga telah menerima warkah limpah perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 14 Jun 2021 bagi pelaksanaan rang undang-undang Energy Efficiency (Standards and Labelling) Order, 2021 (SLO).

    Rang undang-undang itu diwujudkan bagi mengawal selia dan memastikan peralatan-peralatan elektrik sasaran yang dijual di Negara Brunei Darussalam memenuhi Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (MEPS) dan mempunyai kualiti yang tinggi.

    Selain itu, ia juga berfungsi untuk mengurangkan dan kemudiannya menyekat kemasukan peralatan-peralatan elektrik sasaran yang bukan cekap tenaga ke dalam negara serta untuk mempromosi dan menggalakkan penggunaan peralatan-peralatan elektrik sasaran yang lebih cekap dan jimat tenaga serta dapat memenuhi keperluan tenaga yang diperlukan oleh orang ramai dan para pengguna.

    Penerangan mengenai SLO itu diberikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra semasa sidang media khas bagi pengumuman pelaksanaan tempoh tangguh bagi SLO yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Pengarah Bahagian Perundangan dan Pematuhan, Kementerian Tenaga, Awang Mohammad Nizam bin Haji Ismi dan Penolong Pengarah Bahagian Tenaga Lestari, Kementerian Tenaga, Awang Abdul Salam bin Haji Abdul Wahab.

    Pengiran Haji Jamra Weira ketika menjelaskan kepada pihak media pada sidang media khas yang berlangsung di Bangunan JPM, kelmarin.
    Pengiran Haji Jamra Weira (tengah), Awang Mohammad Nizam (kanan) dan Awang Abdul Salam (kiri) memberikan penerangan semasa sidang media khas yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.

    Pengiran Haji Jamra Weira dalam kenyataannya lagi berkata, manfaat dan faedah yang akan diperoleh daripada rang undang-undang berkenaan termasuk membantu orang ramai dalam pengurangan perbelanjaan bagi pembayaran bil elektrik kerana spesifikasi piawaian yang ditetapkan khususnya bagi sistem pendingin hawa di bawah rang undang-undang ini mempunyai tahap kecekapan yang tinggi daripada sudut penggunaan tenaga elektrik serta memberikan peluang ke arah peningkatan pendapatan negara secara terkumpul menjelang 2035 hasil daripada penjualan lebihan gas asli yang dapat dijimatkan daripada pengurangan penggunaan tenaga elektrik melalui pelaksanaan rang undang-undang itu nanti.

    Faedah lain ialah membantu negara dalam pengurangan intensiti tenaga kepada 45 peratus menjelang 2035 sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Tenaga yang juga selari dengan komitmen negara di peringkat serantau di bawah Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

    Selain itu, ia membantu ne- gara dalam usaha ke arah pengurangan pelepasan gas rumah hijau kerana spesifikasi piawaian yang ditetapkan khususnya bagi sistem pendingin hawa di bawah rang undang-undang ini adalah bersifat mesra alam di sebabkan ia tidak menggunakan bahan pendingin atau refrigerant yang memberikan kesan kepada penipisan lapisan ozon.

    Beliau menerangkan bahawa pada peringkat awal, rang undang-undang itu hanya akan menyasarkan bagi pengawal-seliaan sistem pendingin hawa terlebih dahulu berpandukan kepada hasil daripada kaji selidik penggunaan tenaga bagi sektor perumahan di Negara Brunei Darussalam yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga sebelum ini di mana sistem pendingin hawa adalah merupakan sistem peralatan elektrik yang paling tinggi daripada sudut penggunaan tenaga.

    “Penguatkuasaan rang undang-undang ini seterusnya akan dilaratkan kepada peralatan-peralatan elektrik yang lain secara berperingkat-peringkat mengikut urutan keutamaan.”

    Kementerian Tenaga telah pun menetapkan MEPS dengan prestasi kecekapan (COP) di tahap 2.9 bagi semua sistem pendingin hawa yang mempunyai kapasiti di bawah 7.1 KW.

    Penetapan MEPS itu adalah berdasarkan kepada kajian pasaran yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga sebelum ini dan juga dengan mengambil kira MEPS terkini yang diguna pakai oleh negara-negara anggota ASEAN sebagai penanda aras.

    Pengiran Haji Jamra Weira berkata, “Sukacita memaklumkan bahawa, skim pelabelan juga akan dikeluarkan di bawah rang undang-undang ini, dengan menggunakan sistem penerapan bintang, bertujuan untuk memberikan maklumat yang bersesuaian dan seterusnya mendidik orang ramai dan para pengguna bagi pengenalan peralatan-peralatan elektrik jimat tenaga yang terdapat dalam pasaran.”

    Jumlah penerapan bintang akan meningkat mengikut kadar peningkatan kecekapan tenaga yang tertera dalam label yang akan dilekatkan ke atas sistem pendingin hawa berkenaan.

    Daripada sudut penguatkuasaan, Kementerian Tenaga telah dan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang relevan dalam memastikan semua kriteria-kriteria teknikal bagi semua barangan elektrik yang masuk melalui semua pos-pos kawalan adalah memenuhi piawaian teknikal yang telah pun ditetapkan di bawah rang undang-undang itu serta membuat pemeriksaan lanjutan serta lawatan ataupun pemeriksaan secara berkala di semua pos kawalan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan semua premis perniagaan di seluruh negara bagi memastikan semua prosedur penguatkuasaan ke atas barang-barang elektrik di bawah kawalan rang undang-undang itu berjalan secara teratur dan berkesan.

    Kementerian Tenaga, tambahnya lagi, memaklumkan bahawa rang undang-undang itu akan memasuki fasa kedua iaitu bagi tempoh tangguh (grace period) selama setahun bermula 14 Jun 2021 hingga 13 Jun 2022.

    Beliau menjelaskan bahawa di sepanjang tempoh tangguh berkenaan, Kementerian Tenaga akan melaksanakan beberapa aktiviti utama termasuk sesi jerayawara di keempat-empat daerah di seluruh negara, sesi konsultasi bersama dengan beberapa buah agensi yang berkepentingan termasuk pihak pembekal dan program latihan bagi pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan bagi urusan penguatkuasaan.

    “Sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kepada pihak yang berkepentingan melalui saluran rasmi yang bersesuaian.”

    Penguatkuasaan penuh bagi rang undang-undang itu, tambahnya, akan bermula pada 14 Jun 2022 iaitu setahun selepas tempoh tangguh selesai dilaksanakan.

    Sementara itu, Awang Abdul Salam ketika mengulas beberapa persoalan yang dikemukakan semasa sidang media berkenaan menerangkan bahawa sebelum pelaksanaan SLO, beberapa sesi konsultasi telah dikendalikan bersama para pembekal barangan elektrik di dalam negara untuk memastikan bahawa MEPS dapat dicapai bagi memenuhi keperluan orang ramai.

    Beliau menerangkan bahawa sesi konsultasi berkenaan adalah amat penting memandangkan bahawa MEPS bagi setiap negara ASEAN adalah berlainan dan kita perlu melaksanakan piawaian yang sesuai bagi keperluan Negara Brunei Darussalam. Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa pihak pembekal di ne-gara ini telah memberikan kerjasama yang baik dalam pelaksanaan perintah berkenaan.

    Manakala itu, mengulas persoalan jika terdapat insentif kewangan bagi orang ramai untuk menggunakan produk-produk cekap tenaga, beliau mende-dahkan bahawa Kementerian Tenaga dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu secara mendalam.

    Selain daripada itu, beliau juga menyatakan bahawa keadaan pasaran turut memainkan peranan di mana jika terdapat permintaan yang lebih tinggi daripada para pengguna bagi produk cekap tenaga, ia akan membantu untuk menurunkan harga produk-produk cekap tenaga berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda